Tuesday, October 28, 2008

Hari Lahir dan Salji


Semalam merupakan hari jadi ku yang ke 42. Allhamdulillah, ku panjatkan kesyukuran pada Allah kerana memberiku kesihatan dan aku berpeluang bernafas lagi. Usia yang semakin tua mengingatkan kita kepada kematian yang semakin hampir, mudah-mudahan dengan usia yang ada menjadikan aku lebih sentiasa mengingat pada yang Esa.

Awal-awal pagi lagi aku sudah mendapat ciuman dan pelukan Selamat Hari Lahir dari anak-anak. Allhamdulillah, shukur, mendapat anak-anak yang solleh dan sollehah memang impian semua. Pada petangnya aku mendapat 'kejutan' (sebenarnya tak tekejutpun hehe) mendapat kek dan hadiah dari anak-anak.Tiga buku kek coklat dari Tesco dan dua kotak coklat dan kad ucapan dari anak-anak. Masing-masing berkongsi untuk membeli hadiah-hadiah tersebut. Mereka juga bergotong royong membuat pizza untuk aku sempena 'Hari Jadi' ibunya. Mmm, kalau hari-hari macam ni kan best...hehe

Cuaca di luar memang sejuk. Semalam salji mula turun di Coventry. Suhu mencecah -2 darjah menyebabkan aku tidak berminat untuk keluar rumah. Begini lah cuaca di UK ni, selalu tidak menentu. Ini merupakan musim sejuk terakhir aku di sini.. tahun depan insyallah akan menyambut musim tengkujuh di Malaysia pula.. insyallah

Ini kad 'Birthday' dari kawan-kawan di Little Angle Day Nursery. Thank you for all my beloved friends.

Monday, October 27, 2008

Seaham


Hari Sabtu yang lalu kami sekeluarga berkesempatan menziarahi Sofinee dan Jamalulail sekeluarga di Seaham. Kami bertolak dari rumah lebih kurang pukul 9.00 pagi dan perjalanan yang sepatutnya memakan masa 3 jam setengah menjadi 6 jam kerana berlaku kesesakan lalu lintas yang agak teruk di Derby. Kami sampai di Seaham pukul 3.00 petang dan berkesempatan menikmati keindahan pantai di sana. Bandar kecil ini terletak betul-betul di tepi laut.
Kami bermalam di rumah Sofinee dan keesokan harinya kami di bawa membeli belah di Doulton Park (factory outlet) yang tidak jauh dari rumahnya. Selepas itu kami juga berkesempatan ke 'carboot' yang terletak di tepi pantai tidak jauh dari situ. Bertuah Sofinee dapat rumah di tepi laut. Rumahnya yang besar juga sangat selesa untuk menerima kehadiran tetamu. Bukan saja kami sekeluarga yang datang, ada dua buah keluarga lagi yang hadir.


Kami semua pulang ke Coventry selepas solat magrib dan tiba di rumah lebih kurang pukul 9.00 malam. Anak-anak bergitu gembira dapat bertemu dengan kawan-kawannya di sana. Ini ada gambar-gambar yang sempat di ambil oleh anak-anak di sana.

Friday, October 24, 2008

"Eid Party" di Nursery





Semalam merupakan parti 'Eid' yang merupakan acara tahunan di Little Angle Day Nursery. Aku sempat juga masak nasi impit dengan kuah kacang dan sedikit rendang daging untuk kawan-kawan. Makanan masa jamuan itu sangat banyak. Macam-macam juadah yang di bawa oleh kawan-kawan dan ibu bapa. Hari itu aku lah yang paling sibuk sebab terpaksa masak pizza dan sebagainya di bantu oleh Faraheen dan Rita (boss aku). Ini ada gambar-gambar sekitar parti tersebut.

Sunday, October 19, 2008

Sekolah Hidayah dan Ebay


Seperti kebiasaan, setiap hari Sabtu, kami akan berkampung di MRC kerana menghantar anak ke Sekolah Hidayah. Sekolah ini semakin hari semakin meriah. Ramai warga Coventry yang baru tiba, menghantar anak-anak ke sekolah ini. Oleh itu setiap hari Sabtu, ramai lah warga Malaysia di sini.

Semalam aku sempat membantu Dr Marjan mengajar iqrak untuk anak-anak tahap satu. Membantu membangunkan sekolah ini, aku rasa perlu bagi semua warga Coventry. Kalau kita tidak bagi sokongan tentulah sekolah ini akan berkubur nanti. Allhamdulillah berkat usaha kami, di sini sekolah ini masih kekal beroperasi lebih-lebih lagi kami mendapat bantuan kewangan dari 'City Council', jadi anak-anak yang hadir tidak di kenakan yuran, seperti sebelumnya.

Pada sebelah petangnya aku ke Docester dengan suami. Apalagi, kalau tidak kerana 'ebay'... haha. Tapi seronok juga dapat ke sini yang perjalanannya mengambil masa hampir satu jam empatpuluh lima minit. Ada stadium bola sepak, rupanya di bandar ini. Jadi sewaktu hendak pulang kami terperangkap dengan kesesakkan jalan raya kerana ada perlawanan di stadium ini. Singgah solat di pusat 'Servis' (di parkir kereta sahaja), sebelum sampai ke rumah hampir waktu magrib. Hajat hati hendak ke rumah Redzuan untuk rumah terbuka terpaksa dibatalkan sebab suami keletihan. Mujur juga hari ini aku sempat masak nasi impit, rendang, kuah kacang dan lodeh. Jadi kami 'berumah terbuka' sendirilah dengan anak-anak ... hehe

Monday, October 13, 2008

Masih 'Mood' Raya


Walaupun sudah beberapa hari raya, warga Malaysia di Coventry ini masih dalam mood raya. Masih ada lagi rumah-rumah terbuka diadakan pada cuti hari minggu. Walaupun aku tidak membuat rumah terbuka secara rasmi, namun ramai juga tetamu yang hadir sepanjang hari raya yang lepas. Alhamdullilah, seronok sungguh dapat terima tetamu. Sempat juga menyediakan juadah-juadah yang serba ringkas untuk hidangan tetamu-tetamu yang datang. Antara mereka yang sudi menziarah kami sekeluarga di hari raya ini ialah, Fendi dan Ayu, Abang Fuad dan Kak Shidah sekeluarga, Kak Raja dan Salman sekeluarga, Rosman dan Ellyan sekeluarga, Kadijah dan anak-anak, Dr Wan dan Ustaz Hassan, Rashid dan Aida, Zikri dan Su bersama Balkish (orang baru), Fauzan dan Siti, Huda dan Hanif, Hanum dan Sazlinshah(dari Laborough), Khairy dan Mariana sekeluarga, Marjan dan Rosdi sekeluarga dan Dr. Fauziah dan Zainal sekeluarga.

Sunday, October 05, 2008

Rumah Terbuka Aidilfitri MCS




Semalam merupakan rumah terbuka Malaysian Coventry Society (MCS) yang di adakan di MRC. Majlis bermula jam 10.30 pagi. Kali ini ada persembahan dari anak-anak Sekolah Hidayah sebelum jamuan. Ramai warga MCS yang hadir dan kanak-kanak yang paling gembira pada hari itu. Ini juga merupakan peluang untuk kita beramah mesra antara satu sama lain. Alhamdulillah majlis berlangsung dalam suasana yang ceria dan tamat lebih kurang pukul 2.00 petang.

Thursday, October 02, 2008

Hari Raya di Coventry



Tahun ini genaplah tiga tahun kami sekeluarga beraya di Coventry. Sudah menjadi tradisi, juadah untuk pagi raya ialah rendang ayam, rendang daging, lodeh dan kuah kacang menjadi hidangan. Selain dari itu, aku juga ada menyediakan nasi baryani Bombay yang menjadi kegemaran suami. Biskut-biskut raya disediakan bersama anak-anak sejak dua hari yang lepas. Antara biskut yang sempat dibuat ialah tart nenas, biskut cornfleks, biskut badam dan biskut coklat. Setelah selesai solat aidilfitri, kami sekeluarga menerima tetamu yang datang dengan hati terbuka.

Pada sebelah petangnya, kami sekeluarga beraya ke rumah kawan-kawan di Coventry. Rumah Dee, rumah Faizam, rumah Kak Shidah dan Rumah Rosman. Kami pulang ke rumah hampir jam 6.00 petang. Selepas solat magrib, suami dan anak-anak lelaki ke Masjid Jalalabad kerana ada jemaah Malaysia yang datang. Doa kami, agar tahun depan dapatlah kami beraya di Malaysia pula...insyallah...Amin..