Sunday, August 31, 2008

Manchester

Hari semalam kami sekeluarga ke Manchester buat kali ke dua. Kali ini kami sekeluarga melawat Manchester Art Gallery di tengah-tengah bandar Manchester. Sebenarnya tujuan asal ke Manchester ialah kerana mengambil barang di Barry Rood. Oleh kerana minggu hadapan sekolah akan bermula, kami ambil kesempatan ini membawa anak-anak jalan-jalan ke sana.

Manchester Art Gallery merupakan galeri yang mempamerkan pelbagai lukisan dan archa-archa lama. Oleh kerana ramai di kalangan anak-anakku yang minat lukisan, jadi mereka seronok dengan lawatan ini. Mereka boleh saksikan sendiri kesenian pelukis-pelukis terkenal sebelum zaman renaissance lagi. Aku kagum dengan lukisan lama yang di lukis sejak abad ke 18 lagi, yang berjodol "wreckship".

Sewaktu kami di gallery tersebut ada seorang wanita 'mat salleh' bertanyakan tentang kami. dia bertanya dari negara mana kami datang dan apa pendapat kami tentang orang-orang di Manchester ini. Banyak juga yang ingin dia ketahui dari kami, kerana katanya anak-anakku nampak ' well behave'..(alhamdulillah)

Selepas itu kami berjalan-jalan di sekitar bandar Manchester. Pusat bandarnya sungguh sibuk pada hari itu. Pelbagai jenis manusia yang kami jumpa, dari pemuzik jalanan, pelukis jalanan, penari jalanan, pelakon jalanan dan macam-macam lagi. Sebelum pulang, kami sempat membeli belah di situ. Mungkin ini merupakan penutup untuk sessi 'jalan-jalan' kami sebelum sekolah di buka minggu hadapan dan aku juga mula bekerja sepeti biasa.

Wednesday, August 27, 2008

Ibu Mertuaku

Macam tajuk filem P.Ramlee pulak. Alhamdulillah ibu mertuaku semakin sihat. Suamiku telah pulang ke Coventry, setelah ibunya semakin sihat. Masa suamiku sampai di Malaysia, keadaannya sungguh menyedihkan. Beliau tidak mampu untuk berjalan dan makan sendiri. Tapi setelah seminggu suami ku di sana, keadaannya semakin pulih. Alhamdulillh.

Tuesday, August 19, 2008

Anak-anak


Sepanjang ketiadaan suami, anak-anak lelakiku ambil peranan abahnya. Alhamdulillah Mizi, tolong jaga adik-adiknya. Ajak adik-adik solat jemaah di surau. Kalau pagi untuk solat subuh, dia akan kejutkan kami sekeluarga untuk bangun solat. Sebelum tidur dia akan periksa semua pintu dan tingkap agar semua berkunci, alhamdulillah. Nampak dia lebih bertanggungjawab sekarang.

Imam pula memang rajin ke dapur. Dia selalu membantu ku di dapur, sebab dia suka makan..haha.. Manakala Hambaly akan bantu apa yang perlu. Mana ada Imam di situ ada Hambaly, mereka berdua memang rapat, tak boleh berenggang.

Dua orang anak daraku ada tugas masing-masing. Atul tugasnya membasuh pinggan mangkuk, manakala Bariyah memasukkan baju kotor ke dalam mesin basuh. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar. Syukurlah mereka semua sudah besar..

Thursday, August 14, 2008

Balik Malaysia


Pulang ke Malaysia??.. Bukan aku yang balik Malaysia, tetapi suami. Kami dapat berita dua tiga hari yang lepas, ibu mertuaku Puan Azizah Abu Bakar, sakit. Aku menyuruh suami pulang untuk menziarahi ibunya itu. Tempat seorang anak lelaki tentulah di sisi ibu tersayang tatkala ibu memerlukan. Insyallah kami sekeluarga akan pulang ke tanahair pada akhir tahun ini. Doakan kesihatan yang baik untuk ibu mertuaku, mudah-mudahan dapat bertemu juga nanti insyallah... Amin.

Jadi semalam kami menghantar suami sekeluarga di stesyen bas Pool Medow. Dia menaiki pesawat MAS dari Heathrow, London jam 10.00 malam. Semasa aku menaip ini, dia mungkin masih berada di dalam kapal terbang. Tigabelas jam perjalanan untuk penerbangan terus... Aduh!! lama sungguh...Ku doakan agar perjalanannya ini lancar dan selamat... Amin

Tuesday, August 12, 2008

Black Country (The Living Museum)

Semalam, kami berjalan lagi. Kali ini ke Black Country yang terletak di Birmingham dan jaraknya tidak jauh juga hanya empat puluh minit memandu. Black Country ini merupakan sebuah pekan yang di jadikan Muzium Hidup, maksudnya seluruh pekan itu menceritakan sejarah England sejak zaman Victoria lagi. Seni bina bangunannya, kenderaannya dan aktiviti masyarakatnya, menggambarkan era zaman itu.

Kami sampai agak awal juga, terpaksa berbaris panjang kerana ramai betul pengunjung pada hari itu. Bayaran yang dikenakan untuk kami sekeluarga ialah sebanyak 47 pound. Kami memulakan lawatan dengan melihat sendiri bekas lombong arang batu di situ. Segala alat-alat yang digunakan untuk melombong masih kekal, begitu juga dengan rumah-rumah pekerjanya masih dipelihara perabut dan perhiasan dalamannya. Kemudian kami melawat rumah-rumah penduduk di sekitarnya yang mempunyai penghuni yang masih mengekalkan tradisi lama dari pakaian hingga ke peralatan rumahKami juga kemudiannya melawat sekolah pada zaman itu di mana guru yang ada di situ berlakon seolah-olah berada pada zaman tersebut. Beliau menggunakan rotan dan loceng untuk mendenda murid-murid yang nakal. Mungkin kalau di Malaysia, merotan pelajar masih diamalkan lagi di setengah-setengah sekolah, tetapi di England ini merotan tidak lagi di praktikkan untuk mendenda pelajar.

Kenderaan yang ada di Black Country ini masih menggunakan kenderaan lama termasuk tram, bas dan kereta. Selain dari itu pengangkutan penting bagi pekan ini ialah bot. Pengunjung boleh menaiki bot yang disediakan tetapi bayaran tambahan dikenakan.Oklah, cikgu sejarah sudah habis bercerita, marilah kita tengok gambar-gambar yang diambil sewaktu lawatan di Muzium hidup ini.

Friday, August 08, 2008

Gulliver's Kingdom

Semalam, bawa anak-anak ke Taman Tema 'Gulliver's Kingdom' yang terletak di Matlock Bath. Rancangan untuk bawa anak-anak kemari sebenarnya tidak di rancang awal. Kami sebenarnya bercadang hendak ke Selatan England (Isle Of Wight) pada cuti musim panas ini. Tetapi banyak pula halangan terutamanya kos dan jaraknya yang agak jauh. Oleh itu kami ambil keputusan untuk membawa mereka berjalan di sekitar West Midland sahaja.

Perjalanan ke Taman Tema ini agak menarik juga, kerana kawasannya agak berbukit. Suasana perkampungannya juga sungguh mendamaikan. Kami sampai di sana lebih kurang pukul 11.00 tengahari, setelah sejam perjalanan. Keadaan taman ini tidaklah sesesak taman-taman yang pernah kami pergi sebelum ini. Ianya sungguh selesa untuk anak-anak bermain. Mereka dapat bermain hampir kesemua permainan yang ada di situ, kerana masa menunggu untuk satu-satu permainan yang tidak terlalu lama dan jarak antara satu permainan ke satu permainan juga tidak jauh. Kesimpulannya, kami semua rasa seronok dan berpuashati dengan perjalanan hari ini.

Wednesday, August 06, 2008

Transport Museum

'Transport Museum' terletak tidak jauh dari rumah. Lebih kurang sepuluh minit memandu. Masuk adalah percuma dan ianya terletak betul-betul di tengah bandar Coventry. Banyak juga pengetahuan yang kami dapat dengan melawat Muzium ini, terutamanya tentang sejarah kenderaan dari kereta, basikal dan motosikal.

Sejarahnya bermula dari tahun 1800an, di mana manusia berfikir bagaimana untuk mencipta kenderaan yang boleh memudahkan pergerakkan. Nama-nama seperti Carl Benz, Gottleib Daimler, J.K Starley, Rover adalah antara nama-nama pelopor dalam penciptaan enjin kereta . Bandar Coventry merupakan bandar motor apabila 'Daimler Motor Company' dibuka di sini pada tahun 1896.

Pelbagai jenis kenderaan dipamerkan di sini, termasuklah basikal dan motosikal yang pertama di cipta. Apa yang menarik ialah kereta-kereta yang di pamerkan terdiri dari pelbagai jenama seperti Daimler, Triumph, Jaguar, Rover, Alvis, Swift dan Calcott. Haha...nampaknya cikgu sejarah dah mulakan kelasnya pada hari ini.. hehe (dah gian nak mengajar Sejarah nampaknya..)

Oklah.. di pendekkan cerita, ini lah antara gambar-gambar yang dapat diambil di 'Transport Museum' hari ini..

Tuesday, August 05, 2008

Permata Hati

Sejak dua tiga hari ini, hujan asyik turun. Tiada yang menarik dapat di lakukan. Masing-masing sibuk dengan computer masing-masing. Cadangan hendak bercuti, terpaksa di tangguh, memandangkan cuaca yang tidak menentu. Esok kami bercadang ke 'Transport Museum' saja, yang terletak berhampiran. Mungkin dapat juga menghilangkan kebosanan anak-anak. Tunggu esok untuk cerita selanjutnya.

Hari ini merupakan Ulangtahun Perkahwinanku yang ke 18 tahun. Tiada apa yang perlu di sambut, cuma mensyukuri apa yang Allah beri, terutamanya lima orang permata hati yang tidak terhingga nilainya. Doa kami agar kebahagian berkekalan sehingga keakhir hayat...Amin

Friday, August 01, 2008

Malam Markaz di Leicester

Malam tadi merupakan malam markaz tabligh di Leicester. Selalunya suami dan anak-anak lelaki saja yang pergi. Tapi malam tadi kami sekeluarga pergi kerana jemaah masturat dari Malaysia berada di salah sebuah rumah yang terletak berhampiran dengan Masjid Umar di sana. Oleh itu aku dan anak perempuan bolehlah nusrah untuk jemaah ini. Kami sampai lebih kurang pukul 6.00 petang dan ketika itu bayan baru saja bermula. Alhamdulillah, ramai betul hadirin yang datang mendengar bayan ketika itu. Aku tashykil (berazam) untuk suami dan anak lelaki untuk keluar 4 bulan, Insyallah.

Anak-anak sempat mengambil gambar Masjid Umar yang tersergam di bandar Lecister ini. Masjid ini merupakan salah satu masjid yang ada di bandar ini. Kalau sesiapa ke mari terasa macam berada di Madinah ... alhamdulillah jumlah umat Islam di sini juga ramai dan kerja-kerja Jemaah memang perkara biasa. Kami bertolak dari Leicester pukul 11.15 malam kerana terpaksa menunggu jemaah yang menghalang kereta kami mengalih keretanya. Sampai di rumah lebih kurang pukul 12.00 malam.