Tuesday, May 22, 2018

Konvo

Tahun lepas 2017 merupakan tahun yang bersejarah bagi kami sekeluarga,kerana pada tahun itu 3 orang anak kami tamat pengajian diploma dan degree nya serentak di UtEM. Mizi, Atul dan Imam. Alhamdulillah. Syukur kehadrat Allah atas anugerah ini.



Monday, May 21, 2018

Assalamualaikum.
Maaf kerana terlalu lama meninggalkan dunia blog kerana kesibukan kerja dan kerana media sosial yang lain lebih pantas menyalur maklumat dari blog. Walaubagaimanapun aku sebenarnya rindu untuk berblog...kerana ia bagai sebuah dairy yang boleh kita catat momen-momen yang kita lalui dalam hidup yang dapat kita kongsikan kepada warga dunia tanpa sempadan.

Untuk pengetahuan kalian setelah beberapa lama aku tinggalkan blog ini, banyak kisah pahit manis yang kami lalu sekeluarga yang perlu aku catatkan di sini. Antaranya

1. Anak-anak semuanya sudah habis sekolah.
2. Semuanya berjaya melanjutkan pengajian
3. Ada yang sudah berkahwin.
4. Aku sekarang di sini di bumi Coventry kembali.

Mizi, Atul, Bariyah, Imam dan Hambaly semuanya telah tamat sekolah. Mizi dan Bariyah telah berkahwin. Atul pula sedang menyambung pengajian Sarjananya di Coventry University United Kingdom. Imam masih membuat degree nya di UTEM manakala Hambaly sedang mengambil Diplomanya di GMI.


Gambar 1: Majlis pernikahan dan majlis resepsi Khairul Bariyah dan suami Wafri Zaeem



Gambar 2: Majlis resepsi Mohd. Tirmizi dan Nurul Ashikin

Saturday, July 21, 2012

Hari kedua Ramadhan

Hari ini masuk hari kedua ramadhan. Alhamdulillah, semalam dapat berkumpul semua anak-anak untuk berbuka dan bersahur bersama. Menu semalam ialah rendang ayam  dengan nasik hujan panas atas permintaan anak-anak. Atas permintaan suami, aku goreng mi hoon dan kuih muih pula dibeli di bazar ramadhan saja. Jiran sebelah bagi botok ikan dengan roti jala. Penuh juga meja dibuatnya...hehe. Tapi syukurlah semuanya habis..alhamdulillah.


Sebenarnya semalam merupakan hari jadi Mizi yang ke 21. Tak sangka pulak sudah 21 tahun dia sekarang, macam masa berjalan terlalu pantas. Mizi sekarang di semester akhir di Politeknik Merlimau. Mudah-mudahan dia lulus dengan cemerlang dan boleh sambung terus buat degree...insyallah. Aku berharap dia menjadi Abanglong yang boleh bimbing adik-adiknya...insyallah ia Mizi.

Friday, July 20, 2012

Kembali Berblog

Sudah berbulan-bulan tidak menulis di blog ini. Maaflah kawan-kawan, sejak balik Malaysia ini, kekerapan berblog amat terhad. Tak tau kenapa, nak kata sibuk, memang sibuk juga. Kalau minggu persekolahan memang tak berkesempatan untuk duduk dan menulis. Kalau sempatpun hanya berFB je, tu pun tengok-tengok dan komen-komen status kawan-kawan sekejap aje. Nak update status sendiripun rasa kemalasan. Pendek kata, MALAS le tu...hehe. Entah apa mimpi agaknya, hari ini macam ada mood nak menulis. Bulan Ramadhan sudah bermula, memang pagi-pagi ni tak banyak kerja nak dibuat. Lepas siram pokok dan masukkan baju dalam mesin, rasa macam ada masa senggang pulak untuk menulis.

Sejak post akhir yang lepas banyak peristiwa yang berlaku. Misalnya dua bulan yang lepas suami tercinta buat operation jantung. Memang mengejut betul, tapi alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar. Mudah-mudahan selepas operation ni dia kena banyak berehat, jaga pemakanan dan juga senaman. Manakala tuan blog pula selalu mengalami tekanan darah rendah, Dr kata tak ada ubat, cuma kena makan makanan yang lebih garam, dan lebih vitamin plus kena bersenam..huhu.

Sejak bulan Jun yang lepas, anak ketiga Khairul Bariyah, dapat melanjutkan pelajaran ke UiTM segamat dalam bidang Pengurusan Perniagaan. Jadi sekarang ni yang tinggal di rumah cuma Imam Hambaly dan Imam Baihaqi. Tetapi hari ni semua anak-anak ada di rumah untuk sambut awal ramadhan, syukur alhamdulillah. Jadi sebagai ibu mithali nie kenalah fikir menu apa untuk berbuka pada petang nanti. Yang ada dalam fikiran utuk masak ayam panggang dan  masak ikan merah kukus, lepas ni nak cari kat internet resepi yang best-best.

Thursday, October 27, 2011

Trip to KL





Ini merupaka aktiviti Persatuan Sejarah, SMK Ledang.' Plan', nak bawa budak-budak ni pergi trip sudah lama tertangguh. Kesian budak-budak ni dah macam merajuk pulak...hehe. So, pada 15 hb yg lalu, Trip utk ke KL berjaya juga dilaksanakan. Satu bas aje..memang rancang untuk pergi satu bas, sebab kalau ramai-ramai susah nak kawal. Jadi budak yang terpilih dan betul-betul aktif persatuan jer yang boleh ikut (ya ke??). Tempat utama yang di tuju ialah ke Muzeum Negara.

Aku sendiri sudah lama tak ke situ. Kali terakhir pergi masa di Uni dulu, (tahun 1988) tu pun sama dengan kawan-kawan. Selepas berkahwin, tak pernah pergi, sebab suami tak minat. Dia lebih suka pergi PC Fair dari ke Muzeum. Tak apa lah, janji bahagia.... Memang seronok ikut Trip ni, sebab semua anak-anak ikut kecuali Mizi la, sebab dia kerja. Hai, mentang-mentang le maknya cikgu, anak-anak cikgu semua boleh ikut...hehe. Jangan marah ye, kalau mak-mak, yang bukan cikgu Ledang tu ya..huhu.

Lepas ke Muzeum, ingat nak ke Tugu Negara, tapi hujan lebat masa tu, jadi terus je ke KLCC. Kesian kat budak-budak ni, ada yang tak pernah pergi lagi ke KLCC. Jadi tentu lah seronok bagi mereka ni. Layan kan aje lah budak-budak ni. Semua yang pergi baik-baik belaka. Syukur tak ada yg terlepas bas..hehe
Lepas selesai sessi berposing-possing di KLCC, terpaksa batalkan saja impian cikgu Azian nak ke Bukit Bintang, sebab hujan. Jadi Rombongan Ledang terus ke Putrajaya. Nak singgah masjid Putrajaya, punya lah sesak. Jadi tukar plan terus ke Alamanda, sebab cikgu Azian nak belanja KFC...hehe

Selepas 'shopping mopping', dan solat di situ, barulah bertolak balik.' Anyway' semuanya berjalan lancar dan budak-budak tu 'happy'..itu yang penting. Sampai Tangkak pukul 11 malam. Kesian' hubby' tinggal rumah sorang-sorang, kat rumah. Tak apa bukan selalu, sekali-sekali jer.

*Untuk calon-calon SPM, jangan tiru bahasa di blog ini ya, takut 'fail' pulak nanti ...huhu

Saturday, September 10, 2011

Reunion x SMTM dan SMIL


Ni gambar reunion x-SMTM

Fenomena Facebook yang melanda dunia, menyebabkan idea untuk membuat 'reunion' untuk bekas-bekas pelajar SMTM (Sekolah Menengah Tun Mamat) dan SMIL (Sekolah Menengah (Inggeris) Ledang) bermula. Rakan-rakan Di FB mula menyuarakan cadangan untuk membuat reunion ini. SMTM berjaya membuat majli reunion di dewan Sekolah kami itu.

Mana kala pada hari raya ke lima yang lalu bekas pelajar-pelajar SMIL yang kebanyakkan dari SRIL dapat di temukan di rumah ku. Seramai 16 orang kesemuanya yang berjaya hadir, manakala yang lain-lain sibuk dengan urusan sendiri. Berikut adalah beberapa gambar yang ada di sekitar reunion itu.

Ni gambar reunion x SMIL



Raya Lagi..


Hari Raya tahun ini, ramailah saudara mara yang hadir. Seronok bila masing-masing dapat berkumpul dan berjumpa di rumah ini. Maklumlah kami berdua sekarang 'yatim piatu' kedua-dua orang tua, telah kembali ke Rahmatullah. Oleh kerana, rumah mereka pun sudah ada penghuni dan yang empunya, jadi untuk berkumpul adik beradik,mah kami menjadi tumpuan. Kami sangat berbesar hati menyambut kedatangan mereka. Kami sekeluarga juga sempat mengunjungi rumah saudara dan adik beradik di minggu cuti hari raya yang lalu.

Salam Aidilfitri 2011



Post kali ini nak cerita sikit pasal Hari Raya yang masih ada sisa-sisa ni. Alhamdulillah tahun ini menjadikan tahun kedua beraya di rumah Idaman. Tapi bezanya, kami tidak balik ke rumah arwah mak dan abah. Sekarang ini kami lah yang menjadi mak dan abah untuk anak-anak pula. Tak Balik Kampung ke???...Ini lah kampungku yang tercinta. So, pendek kata hari-hari aku balik kampung....heheh.

Menjelang raya, anak-anak semuanya ada. alhamdulillah, bersyukur aku kepada Allah kerana dikurniakan Allah anak-anak yang rajin dan bersungguh-sungguh menolong. Suami juga tidak ketinggalan membantu. Mengemop, memvakum, mengelap, menganyam ketupat, memotong ayam dan daging semua dibuat bersama-sama. Memang meriahlah kalau dibuat bergotong royong macam ni. Menu raya, masih lagi ikut resepi turun temurun iaitu ketupat (ori punya...hehe), rendang daging, ayam masak kacang (resepi arwah mak), sambal kacang (resepi arwah mak mertua) dan kuah lodeh. Kuih muih, buat juga, tapi 'buat tempahan' saja....hehe

Pagi raya, selesai solat sunat aidilfitri, sesi maaf bermaafan diadakan sebelum sesi fotografi. Macam artis pulak ye..hehe. Ikut kan ajelah anak-anak.. Di sini ada beberapa keping gambar hari raya untuk tatapan..

Saturday, August 06, 2011

Setahun

Buah rambutan hasil dari kebun

Cerita 1: Bulan Ramadhan ini sudah genap aku sekeluarga berpindah di rumah ini. Tahun lepas aku mula berpindah dua hari sebelum Ramadhan tiba. Jadi Ramadhan tahun lepas, masih sibuk mengemas rumah sehingga lah Aidilfitri menjelma baru habis mengemasnya. Bulan Ramadhan tahun ini kami berazam untuk membanyakkan ibadat. Alhamdulillah..sepanjang ramadhan ini dapat lah kami sekeluarga bertarawikh di Masjid Kg Payamas yang tidak berapa jauh dari rumah. Ramadhan kali ini, tak semua anak-anak ada di rumah, Atul berpuasa di Uni cuma yang baiknya setiap minggu boleh balik sebab tak jauh. Menu berbuka pula tidak susah sangat, aku akan masak dua jenis masakan. Satu makanan ringan (seperti mee goreng, kueh teow, atau bihoon) dan satu jenis lauk sahaja manakala kuih-kuih akan dibeli di Bazar Ramadhan.


Cerita 2: Cerita pasal kucing. Dalam post yang lepas aku ada menceritakan tentang jumlah kucing yang sudah mencecah 11 ekor. Sekarang ini populasinya sudah bertambah menjadi 16 ekor...Hemmm... banyak sungguh kan. Sekarang ini ada dua ekor kucing yang baru beranak. Jumlah yang banyak ini kadang-kadang memeningkan juga. Mujurlah kucing-kucing ini tidak masuk dalam rumah. Mereka hanya bermain di luar sahaja. Tapi masalahnya, kucing-kucing ini gemar tidur di bawah kereta... Bimbang peristiwa tahun lepas yang aku ter...lenyek anak kucing berulang...eee..ngeri bila difikirkan. Jadi setiap kali hendak mengeluar kan kereta terpaksa, 'double check' bawah kereta untuk memastikan semuanya 'clear' baru boleh mengundur kereta.


Cerita 3: Lanscape yang dicadang, 'progress' nya agak perlahan. Ini semua disebabkan kesibukan suami dengan tugas-tugasnya. Mega projek yang hendak dibuat iaitu kolam ikan hiasan tertangguh. Lubang untuk kolam sudah digali beberapa bulan yang lalu. 'Pond liner' yang dibeli dari UK sudah sampai dua hari yang lepas. Cumanya, untuk mengumpulkan batu-batu sungai saja belum dapat lagi. Mungkin untuk disiapkan sebelum Aidilfitri ini sangat tipis, memandangkan sekarang ini kerap hujan turun dengan lebat ditambah pula dengan bulan puasa. Hemmm...mungkin ada keajaiban yang membolehkan kolam ikan ini siap sebelum Aidilfitri...'mungkin'??...

Friday, July 08, 2011

Hobi




Sejak tinggal di rumah baru ini, aku ada masa yang banyak untuk buat 'gardening'...huhu. Hobi ini memang menyeronokkan. Terutama bila melihat bunga-bunga yang di tanam tumbuh mekar..Antara bunga kegemaran ialah rose dan petunia. Setakat ini bunga-bunga ini sangat rajin berbunga..:)

Macam-Macam

Imam nak ambil PMR tahun ini
Sudah berbulan tidak mengupdate blog ini. Tak tahu kenapa, kemalasan melanda bukan saja sebab sibuk, tetapi lebih berminat ber FB dari berblog. Ini mungkin kerana FB lebih cepat dapat respond nya berbanding dengan blog... Tapi entah kenapa hari ini, rasa rajin pula meng update blog ni yg memang saya sendiri sudah jarang membukanya. Sebenarnya banyak cerita juga hendak dikongsi, tetapi sebelum ini lebih suka dikongsi bersama-sama rakan FB sahaja. Banyak juga perkara hendak di ceritakan misalnya pasal anak-anak. Alhamdulillah anakku Rabiatul Adawiyah, sedang belajar di Uni sekarang...dan abangnya Mizi pula sudah habis pengajiannya di Poli PD, dan insyallah akan menyambung pengajiannya ke peringkat seterusnya pada bulan Disember ini. Buat sementara ni, dia bekerja sambilan di Melaka. Manakala Bariyah di tingkatan 5 dan bakal menduduki SPM tahun ini, Imam pula akan ambil PMR, dan Hambaly sudah di tingkatan 1. Cepat betul masa berjalan.

Wednesday, January 19, 2011

Sekolah


Maaf kerana sibuk akhir-akhir ini setelah sekolah di buka semula. Seperti biasa pagi ke sekolah dan sebelah petang sibuk dengan kokurikulumnya. Dua-dua imam pula sebelah petang akan dihantar mengaji di rumah ustaz di masjid Tangkak. Ini adalah gambar hari pertama ke sekolah. Bariyah sudah ke tingkatan lima dan bakal menduduki SPM, akhir tahun ini, manakala Imam sudah ke tingkatan tiga dan bakal menduduki PMR. Hambaly pula, sudah masuk ke tingkatan 1 tahun ini. Jadi semua anak-anak sudah tiada yang bersekolah rendah lagi. Manakala Atul, duduk di rumah menunggu keputusan SPM, sambil belajar-belajar masak....huhu

Saturday, January 08, 2011

Masak-masak


Memang seronok kalau masa kecil-kecil dulu main masak-masak, kan. Tapi bila dah tua-tua ni mana ada nak main-main lagi. Lagi pun kerja memasak ni dah jadi rutin harian, yang kadang-kadang dah tak ada idea nak masak apa. Jadi macam-macam resepi le yang tercipta hasil dari nak mencuba-cuba itu.

Semalam cuba masak ayam tandoori dengan nasi beryani, yang rempahnya buat sendiri. Mungkin rasanya tak sama dengan orang lain, jadi boleh lah bubuh nama sendiri ye....hehe. Ayam tandoorinya juga di ubah suai dari resepi asal kerana, tak semua rempah ratusnya ada di dapur. Jadi, aku cuba-cuba lah ikut cita rasa sendiri. Apa yang penting, suami dan anak-anak kata sedap. Jadi segala jerih perih di dapur pasti hilang kan... Jadi inilah gambar ayam tandoori dengan nasi baryani Suzana yang special itu...huhu. Lain kali nak buat dengan 'home made' roti naan pulak..

Tuesday, January 04, 2011

Kucing




Sekarang kami mempunyai banyak kucing, hasil dari kucing ku yang tiga ekor dulu tu. Cepat betul kucing-kucing ini membiak...huhu. Mujurlah kawasan rumah baru ini agak luas, jadi untuk membela kucing-kucing yang banyak itu, tidak lah menyusahkan. Kerja-kerja memberi makan dan menguruskan kandang kucing ada lah tugas dua orang 'kuat' ku..iaitu Imam Baihaqi dan Imam Hambaly. Kucing ini biasanya akan masuk ke kandang bila waktu malam sahaja. Pada siang hari, kucing-kucing ini bebas bermain di luar kandang.

Pada cuti sekolah yang lepas ada peristiwa tragis berlaku pada salah seekor anak kucing kesayangan kami itu. Aku terlanggar seekor anak kucing yang comel itu, sewaktu mengundur kereta, untuk menjemput Atul dari sekolah. Massalallah...aku seperti kena histeria bila melihat anak kucing itu 'leper' di bawah tayar kereta. Nasiblah anak-anak aku dah besar, jadi masing-masing terpaksa pula 'calm down' kan maknya yang hampir 'hilang ingatan'...hehe. Jadi 'jenazah' kucing itu telah di kebumikan oleh anak-anak dengan penuh penghormatan...(Imam kata dia sempat sedekah al fatihah lagi tu...hehe)

Begitulah kisahnya kami dengan kucing-kucing kesayangan yang ada sebelas ekor itu... banyak betul kan..Ini dia antara gambar-gambar kucing-kucing kesayangan.

Sunday, January 02, 2011

Selamat Tahun Baru 2011

Satu dah habis SPM dan satu lagi akan mengadap SPM 2011

Maaf kerana keterbatasan berblog. Mungkin sebab blog ni sudah mencecah hampir 6 tahun menyebabkan keterujan untuk berblog semakin merundum. Masa mula-mula menulis blog dahulu, hampir hari-hari mahu mengupdatenya. Secara peribadi aku mempunyai sampai 4 blog untuk di update...Tapi apabila blog ini sudah mencecah 6 tahun tuannya pun sudah agak bosan menulisnya. Lebih-lebih lagi apabila, fenomena facebook melanda dunia menyebabkan, tuan blog lebih suka ber' facebook' dari berblog...haha. Ramai juga kawan-kawan blogger yang dulunya aktif sekarang sudah 'pencen' terus dari ber'blog'. Dan ada juga seperti aku, yang blognya sudah bersawang.

Sempena tahun baru 2011, aku ingn mengucapkan Selamat Tahun Baru kepada kawan-kawan yang sudi membaca blog ini walaupun sesetengahnya aku tidak kenal. Namun kesudian anda membacanya amat saya hargai.

Tahun baru ini, anakku yang bersekolah, tinggal tiga orang saja lagi. Anakku yang kedua, sudah tamat SPM bulan Disember lepas. Jadi kuranglah penumpang ke sekolah setiap hari. Manakala Hambaly sudah naik ke tingkatan satu tahun ini, di Sekolah Menengah Ledang. Bertuah lah mereka kerana hari-hari maknya menjadi teman ke sekolah...hehe. Tahun ni pulak aku akan jadi guru Sejarah dan guru Bahasa Melayu anak sendiri...hermmm. (harap-harap 'minah' tu tak main-main dalam kelas, sebab tahun ni dia akan ambil SPM..huhu)

Oklah, sebagai membuka tirai tahun baru, ini ada beberapa gambar menarik sewaktu percutian cuti sekolah yang lepas...

Sunday, November 28, 2010

My Dream House






Post kali ini saya hendak bercerita sedikit tentang rumah impian yang selamat di duduki dua bulan lepas. Alhamdulillah, setelah hampir setahun, pembinaannya berjaya di siapkan. Lokasinya, sangat cantik, tidak jauh dari gunung Ledang. Sudah pasti setiap pagi kami akan dapat menghirup udara segar di bawah kaki gunung. Memang nyaman...Aku pernah berkata pada suami ketika kami berada di kaki gunung Jungfraujoch di Switzerland dahulu, 'Alangkah seronoknya kalau dapat rumah di bawah gunung"...alhamdulillah rasa macam tercapai pulak impian itu, cuma beza nya kalau di Switzerland, suhunya tentulah mencecah 0 darjah, sedang kan cuaca di Malaysia sangat nyaman...ah...apa lagi yang hendak di pinta dengan nikmat ini..subhanallah, panjatkan kesyukuran pada Mu ya Allah.

Perkara yang paling seronok bila setiap pagi banyak sunggu sepesis burung-burng berkicauan di sekeliling rumah... bermacam-macam jenis. Ada burung layang-layang, burung serindit, burung merbah, burung pipit, burung tiung, burung raja udang, burung merbuk dan macam-macam lagi. Tidak jauh dari rumah ini ada sungai payamas yang dulunya agak dalam, tapi sekarang airnya semakin mengalir lesu.. Sekarang setelah duduk rumah ini, banyak projek yang boleh di buat, projek seterusnya ialah, menghias laman. Projek ini tidak boleh terburu-buru, ia harus di buat secara berperingkat-peringkat. Mungkin post seterusnya akan diceritakan bagaimana kami membuat 'landscape' untuk rumah ini pula..

Tuesday, September 14, 2010

Beraya Di rumah Baru





Maaflah kerana sepanjang bulan ramadhan tiada post yang di buat, kerana kami sekeluarga sibuk mengemas rumah yang penuh dengan kotak-kotak. Bukan itu saja, walaupun kami sudah pindah rumah, banyak lagi perkara-perkara yang perlu di selesaikan, seperti jalan dan laman yang masih tiada rumput menyebabkan tiap kali hujan turun, keadaan di hadapan rumah sangat becak.

Alhamdulillah pada malam raya, semua kerja-kerja mengemas berjaya di bereskan. Jalan juga siap sehari sebelum raya begitu juga dengan penanaman rumput juga siap pada hari itu. Jadi raya kali ini kami sekeluarga berayalah di rumah idaman kami ini, walaupun hiasan di dinding belum sempat di pasang lagi.

Ini ada gambar-gambar yang di rakam di pagi raya, hari tu.

Sunday, August 15, 2010

Pindah



Alhamdulillah...setelah menunggu hampir setahun lebih, akhirnya 'Casa Impian' kami siap juga dan boleh diduduki. Tiga hari sebelum Ramadhan menjelang, kami sekeluarga berpindahlah ke rumah idaman kami itu yang terletak di Kampung Paya Mas. Alhamdulillah dengan di bantu oleh anak-anak muridku yang gagah perkasa dari kelas 4 Pintar, 4 Gemilang, 5 Perdana dan 5 Intelek, segala barang-barang rumah yang berat-berat belaka itu, berjaya juga di pindahkan dengan selamatnya.... "Terima kasihlah anak-anak murid, insyallah raya nanti boleh cikgu belanja makan best-best ye...hehe". Ini lah gambar sekitar kerja-kerja memindahkan barang di rumah baru itu.

Monday, August 02, 2010

Balik Kampung Coventry III


Sewaktu di Coventry, rezeki kami memang murah. Ada saja kawan-kawan yang mempelawa makan di rumah masing-masing. Hari pertama di rumah D. Manakala hari kedua kami makan tengahari di rumah Rashid dan Aida. Manakala hari berikutnya makan malam di rumah saudara Pakistan Yusof Bayat. Alhamdulillah...mudah-mudahan di limpahkan rezeki pada kawan-kawan semua.

Cerita pasal makan, kami tidak ketinggalan menikmati juadah kegemaran kami di Zeenat dan juga kedai Kebab di City Center ( tak ingat pulak namanya). Ini adalah antara makanan yang di beli.

Monday, July 26, 2010

Balik Kampung Coventry II



Hari Kedua di Coventry merupakan hari yang di tunggu-tunggu. Tujuan ke Coventry kali ini kerana hendak menghadiri konvokesyen suami di Universiti tersebut. Pagi-pagi lagi kami sudah bersiap. Mujur juga Universiti terletak tidak jauh dari hotel...hanya beberapa tapak saja sudah sampai. Acara penganugerahan di adakan di Dewan Cathedral (gereja tua yang di bina pada tahun 1043 yang pernah di bom oleh German satu masa dulu). Majlis bermula pada pukul 11 pagi dan tamat pada jam 12 tengahari. Majlisnya agak ringkas jika dibandingkan dengan majlis konvokesyen suami di Malaysia sebelum ini. Ini merupakan pengalaman yang berharga bagi ku kerana dapat menghadiri majlis konvokesyen suami di negara orang.

Ini dia gambar-gambar di sekitar konvokesyen tersebut.