Sunday, May 31, 2009

Al-fatihah

Pagi tadi aku baru balik dari menziarahi jenazah kawan baik ku Allahyarham Misliah, yang kembali ke rahmatullah kerana penyakit kanser hati. Kami berkawan sejak dari bangku sekolah lagi. Tak sangka pula bila aku pindah ke Tangkak dulu, dia pun sama-sama baru pindah dan dapat mengajar di sekolah yang sama. Dia merupakan seorang sahabat yang baik. Semoga rohnya dicucuri rahmat Allah hendaknya...Amin

Sunday, May 24, 2009

'Exam'

Minggu ini merupakan minggu peperiksaan untuk anak-anakku. Jadi cuti hari minggu, kami tidak kemana-mana, cuma sekadar ke pasar tani dan pasar malam sahaja. Masing-masing sibuk membuat ulangkaji. Lepas ini aku pula yang akan sibuk menanda kertas peperiksaan. Harap-harap aku dapat siap menanda jawapan pelajar sebelum cuti sekolah nanti. Kalau boleh masa cuti nanti aku tidak mahu memegang langsung skrip-skrip jawapan pelajar, kerana aku ada projek MEGA yang hendak di siapkan pada cuti sekolah ini...hehe. Mizi juga sedang menghadapi peperiksaan akhirnya pada minggu ini. Harap-harap dia juga dapat menjawab soalan-soalan peperiksaan dengan baik... amin...

Thursday, May 21, 2009

Tumbuh

Selepas pulang dari melawat kebun bapa saudaranya di Segamat tempoh hari, Hambaly bersemangat untuk menanam beberapa pokok cili dan terung di laman rumah. Hari-hari dia akan menyiram pokok-pokok tersebut dan menunggu ianya tumbuh. Dia akan melaporkan setiap perkembangan terbaru, pokok-pokok yang ditanamnya itu pada aku. Seronok juga tengok anakku ini yang minat bercucuk tanam. Mudah-mudahan tak payahlah nak beli cili dan terung di pasar lagi...

Monday, May 18, 2009

Hari Guru


Ini lah pengetua SMK Ledang Tn Hj Ahmad Kamit

Hari Guru di peringkat sekolah di rayakan hari ini. Tiga tahun tidak berpeluang menyanyikan lagi popular 'Guru Malaysia'. Tetapi hari ini aku berpeluang menyanyikannya semula (lepaskan gian le tu...hehe.. nasib baik tak hujan). Sambutan di sekolah agak meriah juga. Banyak acara guru yang diadakan dan yang paling menarik ialah acara bowling menggunakan buah kelapa. Sebenarnya bukannya senang hendak mendapat mata kerana buah kelapa yang di golek kadang-kadang melompat-lompat sebelum mengena sasaran. Ini yang buat kami tidak kering gusi dibuatnya. Walaubagaimanapun hari ini, kami betul-betul seronok, lebih-lebih lagi bila dapat menyaksikan anak-anak murid yang membuat persembahan yang bermacam-macam untuk hiburkan cikgu-cikgunya.. Terima kasih lah ya, muridku semua atas ucapan dan hadiah-hadiah yang diberi. Cikgu doakan semuanya akan menjadi manusia yang berguna kelak... amin

Gambar di bawah ialah aksi juara bowling kelapa...haha

Friday, May 15, 2009

Selamat Hari Guru

Ini gambar anak-anak muridku yang rajin-rajin itu...hehe

Hari ini merupakan hari guru. Tiga tahun aku tidak merayakannya dan dikesempatan ini aku ingin mengucapkan Selamat Hari Guru kepada rakan-rakan guru semua. Semoga kita semua akan jadi guru yang terbilang.

Hari ini juga aku rasa seronok sebab semua anak-anak ada di rumah. Jadi, biasalah kalau ada anak-anak, aku merajinkan diri ke dapur. Hari ini pagi-pagi lagi, aku sudah menyiapkan anak-anak dengan sarapan mini pizza. Tengah hari pula aku bercadang masak ayam masak tomato. Manakala sebelah petang ada jemputan kenduri rumah ibu mertua sebab ada seorang cucunya akan ke Doha (bekerja) pada minggu hadapan.

Sebelah malam...mmm....PASAR MALAM!!...

Thursday, May 14, 2009

Guru II

Menjadi seorang guru, memang seronok. Hari-hari kita akan menyampaikan perkara-perkara yang baik pada anak-anak murid. Anak-anak murid pula akan beri salam setiap hari pada kita (mendoakan kesejahteraan). Kita juga punya ramai kawan, yang baik-baik...alhamdulillah.

Cabarannya ialah bila berdepan dengan anak-anak murid yang nakal-nakal. Sebenarnya mereka ini mahukan perhatian. Mungkin mereka ini tidak mendapat perhatian di rumah. Itu yang membuatkan mereka mencari perhatian di sekolah. Kadang-kadang tindakan mereka membuatkan kita kurang sabar. Apa yang aku selalu buat kalau berdepan dengan situasi ini, aku tarik nafas panjang-panjang dan selawat banyak-banyak. Insyallah segalanya akan terkawal. Doakan hati mereka ini menjadi lembut. Ingatlah, doa seorang guru memang mustajab.

Wednesday, May 13, 2009

Guru I


Hari ini rasa hendak berkongsi pengalaman sebagai guru. Sebenarnya cita-cita masa kecil dahulu hendak jadi doktor (ni masa 6 ke 7 tahun kot..hehe, sebab selalu jumpa doktor, tu yang nak jadi doktor tu), tetapi selepas itu semasa sudah bersekolah menengah pula bercita-cita hendak jadi 'lawyer' lah pula. 'Lawyer' ni, sebab arwah abah dulu memang mahu anak dia jadi lawyer...(lawyer...mejestret...macam dalam cerita Kassim Selamat tu..) Biasalah, semua ibu bapa mahu yang terbaik untuk anak-anak kan. Yang boleh jadi cikgu, ni sebab arwah mak yang suka sangat anak dia jadi cikgu. Mmm...cikgu pun cikgu lah.

Aku mula mengajar masa tahun 1993 lagi, bermakna sudah lebih kurang 16 tahun mengajar tapi di tolak cuti tanpa gaji selama 3 tahun jadi 13 tahun...huh!! lama tu...) Sekolah pertama aku ialah SMK Lembah Keramat dan kemudianya berpindah ke SMK Lembah Keramat 2. Sekolah ini majoriti pelajarnya berbangsa Melayu. Jadi cabarannya tidak berapa banyak berbanding dengan sekarang yang sekolah nya mempunyai pelbagai kaum. Sejahat-jahat anak-anak ini pun, masih ada rasa malu pada cikgunya dan masih ada rasa hormat pada orang tua.

Jadi sepanjang aku mengajar di sana dulu, alhamdulillah tiada kes budak yang biadap dan 'kurang asam' (kalau kurang ajar, boleh kita ajarkan dia). Apa yang aku ingat, anak-anak muridku masih ramai yang menghubungi aku sampai sekarang. Dan ada pula yang sudah jadi doktor, jurutera, lawyer dan ada yang sudah popular seperti Abby Abadi, Fify (bersamamu TV3 tu) dan ramai lagi. Aku bukanlah seorang guru yang garang. Hendak buat-buat garangpun tak pandai. Jadi kalau budak-budak yang nakal-nakal tu, aku buat kawan dengan dia. Lama-lama diapun malu sendiri dengan cikgu dia ni. Akhirnya dia tidak buat kacau masa aku mengajar (itu dah kira baik) sekurang-kurangnya kelas kita aman....

(bersambung...)

Tuesday, May 12, 2009

Macam-macam

Macam-macam berlaku pada dua tiga hari ini.

Pertama: Sambutan hari Ibu di sambut oleh anak-anak di Restoren Aza (Restoren abang ipar). Tak sempat nak bergambarpun. Imam belanja!! Terima kasih lah anak-anakku atas hadiah-hadiah itu.

Kedua: Hari Ahad pergi ke Klang ada kenduri kahwin saudara sebelah suami, dalam perjalanan balik kereta kehabisan air (bukan minyak ye..hehe) Nasib baik, sedar awal bila suhu enjin naik mendadak. Alhamdulillah ada orang datang "bantu".

Ketiga: Malam semalam cubaan memecah masuk rumah, gagal kerana suamiku sebelum tidur tergerak hati untuk menambah satu lagi kunci di pintu dapur serta memaku 'mati' kunci tersebut sehingga, pencuri gagal membukanya....alhamdulillah. Dia hanya dapat mengumpil tingkap (tapi gagal masuk kerana ada grill) dan mengopakkan pintu pagar belakang sahaja. Laporan polis telah dibuat dan polis juga ada datang memeriksa dan menurut beliau, orang yang melakukan telah dapat di kesan, tapi belum berjaya di tangkap... (nak sedapkan hati lah tu..)

Keempat: Rasa badan tak berapa sihat. Semalam MC satu hari, sebab rasa macam hendak pitam dan loya... (tak mungkin mengandung kot...hehe) Doktor mengesahkan aku kekurang darah... dan tekanan darah rendah. ( Macamana boleh jadi macam tu ek??)


Gambar atas : Anak-anak dan ibu balik sekolah....
Gambar bawah: Main bola keranjang.

Friday, May 08, 2009

Selamat Hari Ibu

Aku ingin mengucapkan "Selamat Hari Ibu" kepada kawan-kawan yang bergelar ibu. Kalau masih ada ibu tu, kasihilah dia seperti mana dia mengasihi kita. Ibuku sudah tiada, kalau masih ada aku akan ucapkan juga "Selamat Hari Ibu" kepadanya. Sekarang hanya doa dan ayat-ayat suci yang dapat di hadiahkan padanya, semoga rohnya di rahmati Allah hendaknya....Amin
(I miss her so much)

Monday, May 04, 2009

Roti Tisu

Roti tisu memang salah satu makanan kegemaranku sekeluarga. Biasanya kita boleh dapat makanan ini di restoren-restoren mamak sahaja. Nak buat sendiri, memang tak pandai. Jadi untuk makan makanan ni kenalah ke restoren mamak. Sesekali sempat juga kami menikmati roti ini di sekitar bandar Tangkak, terutama bila hari cuti. Ini ada gambar anakku yang keempat sedang menikmati roti kegemaran. Dia ni memang suka makan apa saja...haha

Sunday, May 03, 2009

Menu


Malam tadi berkesempatan makan ikan bakar di Anjung Batu, Serkam. Tapi kali ini aku sekeluarga tidak berpuas hati dengan 'service' yang di beri oleh warung ikan bakar tersebut yang sebelum ini memang bagus. Mungkin kerana pengunjung pada malam tadi begitu ramai sehingga kakitangannya tidak cukup tangan. Makanan yang di 'oder' sampai lambat dan berperingkat-peringkat dan hendak menunggu makanan yang seterusnya sampai, anak-anak sudah hilang selera makan.

Jadi hari ini aku terpaksa memikirkan menu yang agak istimewa untuk keluarga. Nasi ayam menjadi pilihan. Setelah bertungkus lumus di dapur, inilah hasilnya. Petang nanti terpaksa bergegas ke PD pula untuk menghantar anak bujangku pulang ke asrama. Ini adalah cuti terakhirnya sebelum cuti semasternya nanti.

Friday, May 01, 2009

Futsal

Cuti hari pekerja hari ini, dimanfaatkan untuk mengemas rumah pada sebelah pagi. Manakala pada sebelah petang pula kami sekeluarga bermain futsal di gelangang futsal tidak jauh dari rumah. Dapatlah juga mengeluarkan peluh walaupun aku hanya dapat beberapa kali saja menyepak bola...hehe. Mana tidaknya anak-anak lelaki dan anak-anak saudara yang turut bermain, memang sudah mahir bermain permainan tersebut. Tujuan aku bermain cuma hendak mencukupkan korum sahaja. Tak apalah, janji pada petang tadi kami betul-betul "enjoy!"