Monday, July 21, 2008

Siapakah ini?

Ha.. gambar siapakah ini? Semalam merupakan harijadi nya. Katanya "mak tak payah buat apa-apa sebab dia dah besar". Allhamdulillah ... sudah besar rupanya anakku ini. Mudah-mudahan jadi anak yang solleh ye. Masa kecil dahulu memang banyak kerenahnya kalau hari jadi nya tiba. "Nak Power Ranger lah... nak Ultraman lah, nak kereta kontrol lah". Mmm.. itulah dia anak-anak.. kan? Tapi sekarang sudah dewasa dan insyallah tahun depan boleh masuk kolej. Mudah-mudahan .. amin..

Sunday, July 20, 2008

Satay

Pagi ini aku tidak bercadang untuk ke mana-mana 'carboot sale'. Entahlah sejak mak meninggal hari tu, mood untuk membeli belah di sana merudum. Bukan apa, terlalu banyak kenangan bersama mak ketika arwah di sini terutamanya di 'carboot sale'. Masa arwah di sini dulu, boleh di katakan setiap minggu kami akan pergi ke mana-mana saja carboot yang ada.

Oleh itu, hari ini kedua-dua 'Imam' (Imam Hambaly dan Imam Baihaqi) mencadangkan projek mebuat satay, ini memandangkan sudah lama kami tidak makan makanan kegemaran tersebut. Jadi kami sekeluarga bergotong royong menyiapkan ramuan-ramuan tersebut. Alhamdulillah, hasil kerja sekeluarga Satay kami siap di bakar dan rasanya juga sungguh enak. Nampaknya "Satay Churchill" boleh lawan juga "Satay Kajang".... haha

Saturday, July 19, 2008

Hari Terakhir Di Holbrook Primary School

Semalam merupakan hari terakhir Imam Baihaqi di 'Holbrook Primary School'. Mulai penggal hadapan (September 2008), dia akan ke sekolah menengah di 'President Kennedy School'. Sekarang tinggal Hambaly saja yang bersekolah rendah. Semalam juga aku dan suami sempat menghadirkan diri ke sekolahnya untuk "Perhimpunan Pagi" sekolah kerana ada persembahan yang dibuat oleh pelajar-pelajar 'year6'. Aku tidak menunggu sampai persembahan tamat kerana terpaksa bergegas ke tempat kerja. Tapi sempat juga aku rakamkan aktiviti tersebut sebagai kenangan.

Thursday, July 17, 2008

Aktiviti Mingguan

Pada hari minggu lepas aku sempat ke Leeds untuk ziarah Jemmah Masturat dari Malaysia. Kesemua mereka dari Melaka. Sewaktu dalam perjalanan, tayar kereta pancit ketika sampai di Derby. Sempat ambil gambar selepas selesai menukar tayar.

Minggu akhir persekolahan, anak-anakku banyak membuat lawatan anjuran sekolah masing-masing. Dua minggu lepas, Bariyah ke 'Dryton Manor', Imam pula ke 'Art Museum' dan 'Transport Museum,' Hambaly pula buat lawatan ke 'Farm' di sekitar Coventry. Manakala Rabiatul pada Isnin lepas ke 'Museum of Art' di Londan. Hanya Mizi saja yang terperap di rumah selepas habis GCSE.

Minggu depan 'Summer Holiday' bermula. Akupun turut bercuti. Banyak aktiviti mengemas boleh dibuat. Kotak-kotak kosong sudah bersedia untuk di isi. Insyallah akhir tahun ini aku balik Malaysia...yeaa..

Saturday, July 12, 2008

Ulat dan Bunga

Bila musim panas, tumbuh-tumbuhan di sekeliling rumah tumbuh merimbun.. (sampai rumah pun dah tak nampak) Malas hendak memotongnya, sebab cuaca tidak menentu, asyik hujan. Hari panas boleh di kira dengan jari, walaupun "musim panas"... ah..ini lah England. Kalau hendak panas sepanjang tahun, balik lah Malaysia, betul tak?? ..hehe. Bunga-bunga di depan rumah kembang tanpa di suruh. Di celah-celah kuntuman ros itu, ada juga beberapa ekor mahluk yang tak diundang yang 'cemburu' dengan kesuburan bunga itu. Bunga ros ini adalah kegemaran arwah mak. Tahun lepas masa dia di sini, bunga ros ini tak sesubur sekarang. Kalau lah mak ada lagi, tentu dia seronok tengok bunga-bunga ini berkembang. Apa boleh buat, semua itu hanya kenangan manis yang tidak dapat dilupakan.

Monday, July 07, 2008

Hari Jadi Hambaly ke 10



24 Jun, yang lalu merupakan hari lahir Imam Hambaly anakku yang bongsu. Pada hari itu juga Mizi tamat peperiksaan GCSEnya. Jadi tiada apa yang sempatku buat pada hari itu, kerana aku bekerja sampai jam 6.00 petang. Jadi aku berjanji untuk menyambutnya pada hari Sabtu di 'Zeenat Restoren'. Pada hakikatnya aku masih tidak berapa seronok untuk menyambutnya. Cuma aku teringat kembali 10 tahun yang lalu aku melahirkan anak ini di Hospital Ampang Puteri di Selangor. Pada masa itu aku tinggal di Danau Kota, Kuala Lumpur. Sepuluh tahun sudah berlalu terasa begitu pantas. Rumahku pada masa itu macam 'nursery', kerana anak-anakku semua masih kecil. Kehadiran anak kelima ini memeriahkan lagi suasana rumah. Kalau tak percaya tengok saja gambar ini.

Monday, June 23, 2008

Bicara Ilmu Bersama Prof. Dr Sidek Baba


Sebaik saja selesai acara 'Malaysian Tradisional Game', pada sebelah petangnya, aku dan suami ke MRC kerana MCS ada menganjurkan satu majlis ilmu bersama Profesor Dr Sidek Baba. Beliau merupakan 'cikgu' ku ketika di UIA dahulu. Banyak perkara yang Prof sentuh dari kisah kenaikan harga minyak sehinggalah kepada survival umat Melayu. Setelah selesai majlis, kami berjumpa Prof dan isteri secara peribadi dan banyak nasihat dan amanat yang di beri terutama dalam mendidik anak-anak. Terima kasih 'cikgu', atas amanat itu, insyallah berjumpa lagi kita hendaknya.

Sunday, June 22, 2008

Malaysian Tradisional Games



Setelahku kesat air mata ini, aku gagahkan juga diri ini untuk menyertai 'Malaysian Tradisional Games' yang berlangsung di The Hillfields Village Square. Hidup harus di teruskan, betul tak?. Dalam acara ini anak-anakku terlibat dengan acara kompang, gasing, teng-teng dan sepak raga bulatan.

Kami kelewatan sedikit kerana tersilap tengok masa persembahan. Walaupun hari hujan, namun persembahan hari itu agak lancar juga. Kehadiran warga Malaysia di tapak itu agak menggalakkan. Allhamdulillah tujuan untuk memperkenalkan permainan tradisional Malaysia tercapai. Ramai juga masyarakat tempatan yang hadir menyaksikan acara tersebut. Untuk acara kompang, radio coventry ada mempelawa kami untuk membuat persembahan di sana pada minggu hadapan. Wah masuk radio pulak...haha. Satu peluang yang baik tu.

Syabas pada Kak Raja kerana berjaya mengumpulkan sebahagian warga Malaysia di Coventry untuk acara itu. Ini merupakan peluang baik untuk anak-anak Malaysia di sini mengenali permainan tradisi mereka, tidaklah asyik bermain 'X box, play station', dan yang seumpamanya itu. Apa yang nyata anak-anakku sangat gembira pada hari itu, setelah melalui kesedihan yang amat sangat dua hari yang lepas.




Saturday, June 21, 2008

Gambar Terakhir


Ini merupakan gambar terakhir mak sebelum kembali kepada yang Esa. Ketika ini arwah berada di Hospital. Di kiri dan kanan arwah adalah adik kesayangan Abd Muluk dan Rosdan. Terima kasih kepada suami, anak-anak, adik-adik, abangku, kakak, saudara mara dan kawan-kawan yang memberiku semangat untuk terus tabah. Gambar ini merupakan memori terakhir mak untuk kenangan kita bersama. Terimakasih semua..

Wednesday, June 18, 2008

Al Fatihah Buat Mak


Malam tadi aku dapat berita yang menyedihkan dari Malaysia, ibu ku Pn. Habibah Hj A Gani, telah kembali kerahmatullah kerana serangan jantung. Kepada rakan-rakan mari sama-sama sedekahkan Al fatihah untuk ibu tersayang. Al fatihah...

Saturday, June 07, 2008

BBQ Tahunan 'Malaysian Coventry Society'






Acara BBQ musim panas di ada kan setiap tahun. Tahun ini ia di adakan semalam di Drycote Water Country Park tidak jauh dari Carboot Dunchurch. Oleh itu sebelum ke sana, kami telah membeli belah terlebih dahulu di carboot. Ramailah kawan-kawan yang sama-sama memborong barang-barang di sana. Selepas itu barulah kami bertolak ke Drycote Water Park. Tempatnya memang untuk acara BBQ. Menu juga sangat enak di antaranya satay, mee hoon goreng, kuih muih, ayam, kambing dan sausage bakar. Selain itu ada acara sukaneka untuk anak-anak yang dikendalikan oleh Kak Raja. Menu kali ini juga sungguh lazat dan cuaca juga agak baik, cuma hujan renyai turun bila acara hampir selesai. Keseluruhannya tahniah buat pengajur BBQ kali ini. Anak-anak cukup gembira pada hari itu..


Monday, June 02, 2008

Makan Malam di 'Seetar Tandoori'


Malam Ahad lepas, semua pekerja 'Little Angle Day Nursery' makan malam bersama di Restoran Seetar Tandoori, milik kawanku Sahnara. Dia belanja kami semua makan di Restorannya kerana dia baru lulus 'NVQ Level 3'. Restoran yang terletak di Kenilworth itu sangat exklusif. Pada malam itu, kami mendapat layanan istimewa sekali. Sambil menunggu makanan, kami di dendangkan oleh pemain seetar yang sungguh berbakat. Yang seronoknya, dia sempat mainkan lagu 'Rasa Sayang Heh' sambil memetik seetarnya. Oleh kerana kami terdiri dari pelagai kaum, dia menyanyikan setiap lagu mewakili kami. Antaranya lagu dalam bahasa suheli , panjabi, gujerati, arab dan bahasa Melayu. Makanan pada malam itu juga sangat enak. Kami semua makan sampai kenyang, sebelum pulang ke rumah. Akhir sekali terima kasih kepada Sahnara kerana belanja kami makan pada malam itu.

Sunday, May 25, 2008

Aktiviti Hari Sabtu di Sekolah Hidayah

Setiap hari Sabtu, kelas agama di adakan di Sekolah Hidayah di MRC( Muslim Resorce Center). Di sinilah tempat, orang-orang Melayu berkumpul. Biasanya selain dari kelas agama untuk anak-anak di sini, kaum bapa akan bermain badminton. Tapi pada hari Sabtu yang lepas, kami bergotong royong menyiapkan alat-alat untuk permainan tradisional yang akan di adakan pada 21 Jun, sempena 'Hilldfield Gala Day'. Kami akan adakan pertunjukkan, silat, kompang, main getah, teng-teng, congkak, batu seremban , galah panjang dan sepak raga bulatan. Semua permainan ini akan di perkenalkan pada hari tersebut pada masyarakat di sini. Di samping itu juga, ini lah masanya kita untuk perkenalkan permainan tradisional ini pada anak-anak Malaysia sendiri.




Thursday, May 22, 2008

'Uniform' baru



Sejak hari jumaat lepas semua pekerja 'Little Angle Day Nursery' dikehendaki memakai 'Uniform'. Ini lah dia 'uniform' baru tu, ada setengah kata macam 'uniform' 'mid wife' (bidan) di sini, cuma warnanya saja agak gelap. Menurut 'Manager' aku Rita, warna ni sesuai kerana tak nampak kotor. Bagi aku "apa-apa aje lah" , lagipun bukan nak kerja di sini selama-lamanya pun...hehe.

Sunday, May 18, 2008

Musim Bunga


Setelah rimas dengan cuaca sejuk beberapa bulan yang lepas, musim bunga yang di tunggu sudah tiba. Banyak bunga-bunga yang berkembang di sekeliling rumah. Pagi tadi kami sekeluarga ke Leamington untuk membeli belah di 'C J Carboot'. Hari ini 'booters' tidak seramai minggu lepas dan cuaca pula sekejap mendung , sekejap terang benderang. Tiada apa yang menarik untuk dibeli kali ini, cuma dapat membeli pasu-pasu seramik yang kecil untuk dijadikan koleksi. Selepas itu kami berkesempatan bergambar di sekitar kawasan yang di penuhi dengan bunga-bunga kuning yang namanya tidaklah diketahui...haha. Bunga yang berwarna kuning tu menjadi 'mangsa' tempat kami anak beranak ber'poseing'.

Wednesday, May 14, 2008

GCSE dan SAT

Hari ini peperiksaan GCSE (sama dengan SPM Di Malaysia), bermula. Mizi adalah antara calon yang menduduki peperiksaan tersebut. Harap-harap dia dapat buat yang terbaik. Aku sebagai ibu hanya dapat doakan kejayaannya. Manakala Atul pula telah habis peperiksaan SAT (macam PMR), pada minggu lepas. begitu juga dengan Imam yang telah tamat peperiksaan SAT nya(macam UPSR di Malaysia) pada minggu yang sama. Peperiksaan di sini tidaklah se 'stress' di Malaysia. Mereka di beri peluang memperbaiki gred masing-masing setiap kali peperiksaan. Banyak markah diberi dalam kerja kursus. Harap-harap semuanya berjalan dengan baik. Amin...

Saturday, April 26, 2008

Prince Charles Datang MRC

Hari Selasa yang lepas 'Prince of Wales' datang ke MRC untuk merasmikan projek NHS di situ. Sebelum kedatangan baginda, MRC bertukar wajah. Kerja-kerja pembersihan dan menaik taraf MRC di lakukan sejak seminggu yang lalu. Lantai dan cermin tiba-tiba berkilat. Dewan tiba-tiba 'fully carpet' hehe...dia orang ni pun hipokrit macam di Malaysia juga. Bila ada Sultan atau YB nak datang semua jadi serba baru dan cantik-cantik belaka. Ahh... bukankah kitapun belajar dari mereka juga.

Pada pagi Selasa itu, MRC dipenuhi dengan anggota-anggota polis dan keselamatan. Anjing-anjing Polis di bawa masuk sampai ke Nursery untuk membuat pemeriksaan, kalau-kalau ada bahan letupan atau bom yang akan meledak sewaktu Putera tua itu datang nanti. Yang paling kelakar, sampai atas bumbung MRC pun mereka periksa. Kami yang di dalam 'Nursery' seperi dalam tahanan. Tidak dibenarkan keluar!! #$@***%$ ee...geram betul. Baru berangan-anggan nak bergambar dengan 'ex mendiang Puteri Diana' yang popular tu. Jadi masa baginda datang aku berhelah konon-konon nak ke Pejabat, untuk ambil susu. Tapi kena di soal siasat macam penjenayah pulak he...gerammnya. Akhirnya kami hanya dapat lihat kelibat suami Camilea tu dari cermin pintu 'Nursery'. Kawan-kawan lain semua geram. Semua rasa macam tidak adil sebab Prince Charles datang, pekerja yang ada di situ tidak di benarkan pun berjumpa dengannya. Yang dapat jumpa cuma orang-orang 'atasan', seperti Rita dan Faraheen ( Masing-masing macam tak sedar diri bila dapat bersalam dengan putera sulung Queen Elezabeth II tu ) "Ohh Suzan, It's like a dream, Prince Charles shake my hands.. oh.." kelakar...kelakar. Esok hari keluar muka Putera tu di muka depan akhbar. Konon-kononnya putera yang berjiwa rakyat, sanggup bersalam dengan orang-orang yang menunggu baginda di luar pagar. Gambar-gambar orang-orang 'atasan' yang di dalam dewan, tak keluar pun di akhbar. 'Sure' bengag betul masing-masing yang bergaya sakan pada hari itu, termasuklah bos aku.. hehe.

Friday, April 04, 2008

Manchester United Football Club




Pada awal rancangan, kami hendak ke Cardiff, Selatan Wales. Tetapi memandangkan jarak perjalanan ke Cardiff memakan masa lebih kurang 4 jam,kami menukar rancangan di saat akhir. Anak-anak lebih suka kalau kami ke Mancester. Oleh itu kami mengambil keputusan ke Menchester saja sebelum pulang semula ke Coventry.

Kami bertolak dari Portmadog, Wales lebih kurang pukul 11 pagi. Perjalanan ke Manchester mengambil masa lebih kurang 2 jam 40 minit. Ketara perbezaan antara Wales dan England ialah dari segi seni bina bangunannya. Di Wales, rumah-rumahnya di bina dari batu-batu slate berwarna gelap. Manakala rumah-rumah di England bangunan nya dari batu-bata berwarna merah.

Kami terus ke 'Football Club'nya, di mana di situ terdapat kedai cenderamatanya. Setelah selesai membeli cenderamata, kami ke masuk ke Muzium MU dan di kenakan bayaran sebanyak 48 pound untuk kami sekeluarga. Kami juga berpeluang melawat ke dalam Stadium dengan di pandu oleh seorang pemandu pelancong. Anak-anak sungguh gembira sebab berpeluang melihat sendiri bagaimana seorang pemain MU bersiap sedia setiap perlawanan berlangsung. Semua mereka berpuas hati dengan pengalaman tersebut.

Thursday, April 03, 2008

Bercuti di Utara Wales (Cymru)





Pada cuti Easter 28 Mac, 2008 yang lepas kami sekeluarga, melancong ke Snowdonia Utara Wales. Kami menginap di Haven Holiday di Greenacers Caravan di Porthmadog, Wales. Pada hari pertama, hujan turun agak lebat diikuti dengan angin yang sangat kuat. Antara tempat-tempat yang kami lawati ialah Llanberis, Bala Lake dan Wollen Mill. Pemandangan di Snowdonia National Park sangat cantik, tak boleh diungkap dengan kata-kata. Itulah kebesaran Allah yang dapat kami hayati. Kami di sana selama tiga malam. Caravan yang di sewa juga agak selesa. Ada tiga bilik tidur dan boleh memuatkan 8 orang. Sebelum balik, kami sempat singggah di Mancester United Football Club.

Wednesday, February 20, 2008

Alton Tower





Cuti sekolah kali ini aku sekeluaga berkesempatan ke Alton Tower Thame Park yang terletak di utara. Ada potongan harga untuk lawatan musim dingin ini. Anak-anak seronok menaiki pelbagai permainan di sana. Kami sampai lebih kurang pukul 11 pagi dan pulang ke rumah pukul 4.30 petang.


Jalan-jalan di Newcastle



Pergi ziarah Keluarga Jamalulaill di utara. Kesempatan itu singgah di Newcastle Upon Tyne. Bergambar di Millinium Bridge. Tapi suhu mencecah -2. Sangat sejuk, sehingga terpaksa baju berlapis-lapis.

Sambutan Eid MCS di MRC



Sambutan Raya Haji masih di buat di MRC seperti biasa. Aku di tugaskan masak rendang ayam. Masing-masing mempunyai tugas yang diberi. Banyak juga juadah istimewa tersedia. Sederhana tetepi meriah.

Hari Raya Aidil Adha


Menyambut Hari Raya Aidil adha buat tahun ke tiga. Ambil cuti untuk raya. Menu kali ini ialah nasi impit, rendang, lodeh dan kuah kacang. Cuaca sangat sejuk di luar, jadi aku tak ke mana-mana. Anak-anak aje yang beraya rumah kawan-kawan terdekat.

Emak Balik Malaysia


Sangat sedih sebab mak pulang ke Malaysia. Semua anak-anak rasa kehilangan. Terutamanya Hambaly. Kedatangan mak di sini sungguh bermakna bagi kami di sini. Mak juga seronok dapat peluang ke mari. Insyallah tahun depan mak boleh datang lagi ye mak..:)

Monday, November 05, 2007