Wednesday, November 05, 2008

Khairul Bariyah

Mmmm...... itu nama anak ku yang ke tiga yang maknanya sebaik-baik makhluk. Harap-harap betullah dia menjadi makhluk Allah yang baik ...Amin...

Hari ini hari lahir dia yang ke 14 tahun. Teringat aku sewaktu 14 tahun yang lalu ketika aku melahirkan dia di Hospital Tawakal, Kuala Lumpur di mana suamiku yang jadi bidan, sebab ketika itu doktor lambat sampai. Nasib baik dia tak panik...dan aku rasa dia lah yang paling mudah keluar sebab saiznya yang kecil cuma sebesar kotak tisu dan beratnya pula 2.1 kg sahaja. Masa dia keluar 'water bag' pun tak pecah (dia keluar dengan 'water bag' sekali).

Jadi hari ini, seperti tradisi keluarga 'birthday girl' kena baca ikrar dan muhsabah diri. Kena janji untuk perbaiki diri masing-masing setiap kali hari jadi masing-masing tiba. Mudah-mudahan dia jadi anak yang sollehah nanti...amin

Monday, November 03, 2008

"Resign!"


Hari ini aku serahkan surat 'resign' di Little Angle Day Nursery.Bulan ini merupakan bulan terakhir aku di sini. Kalau dikira tarikh hari ini, aku sudah bekerja di nursery ini selama dua tahun dua bulan. Banyak pengalaman yang dapatku timba di sini. Terutama kawan-kawan di sini semuanya baik-baik belaka. Kami sangat rapat macam sebuah keluarga yang mempunyai pelbagai bangsa.

Bossku Rita (berbangsa India yang lahir dan dibesarkan di Kenya), memang baik orangnya. Aku dan dia sangat rapat, segala masalah di nursery akan di bincang bersama aku... kelakar juga, kadang-kadang sebab boss boleh percaya dan terima idea dari aku yang hanya bekerja di bahagian dapur. Jadi oleh kerana dia "sangat" percaya pada 'Malaysian' dia mahu aku carikan 'Malaysian' juga untuk ganti tempat aku. Allhamdulillah aku dapat cari kawan yang memang baik, untuk ganti tempat aku ini..

Bekerja di sini memanglah seronok, sebab aku dikelilingi oleh anak-anak kecil yang comel-comel belaka. Aku cuma bertanggung jawab menyediakan makanan mereka. Lain-lain hal berkaitan dengan mereka adalah tanggungjawab 'Nursery Nurse' yang lain. Aku akan merindui mereka semua bila aku pulang nanti.

Tuesday, October 28, 2008

Hari Lahir dan Salji


Semalam merupakan hari jadi ku yang ke 42. Allhamdulillah, ku panjatkan kesyukuran pada Allah kerana memberiku kesihatan dan aku berpeluang bernafas lagi. Usia yang semakin tua mengingatkan kita kepada kematian yang semakin hampir, mudah-mudahan dengan usia yang ada menjadikan aku lebih sentiasa mengingat pada yang Esa.

Awal-awal pagi lagi aku sudah mendapat ciuman dan pelukan Selamat Hari Lahir dari anak-anak. Allhamdulillah, shukur, mendapat anak-anak yang solleh dan sollehah memang impian semua. Pada petangnya aku mendapat 'kejutan' (sebenarnya tak tekejutpun hehe) mendapat kek dan hadiah dari anak-anak.Tiga buku kek coklat dari Tesco dan dua kotak coklat dan kad ucapan dari anak-anak. Masing-masing berkongsi untuk membeli hadiah-hadiah tersebut. Mereka juga bergotong royong membuat pizza untuk aku sempena 'Hari Jadi' ibunya. Mmm, kalau hari-hari macam ni kan best...hehe

Cuaca di luar memang sejuk. Semalam salji mula turun di Coventry. Suhu mencecah -2 darjah menyebabkan aku tidak berminat untuk keluar rumah. Begini lah cuaca di UK ni, selalu tidak menentu. Ini merupakan musim sejuk terakhir aku di sini.. tahun depan insyallah akan menyambut musim tengkujuh di Malaysia pula.. insyallah

Ini kad 'Birthday' dari kawan-kawan di Little Angle Day Nursery. Thank you for all my beloved friends.

Monday, October 27, 2008

Seaham


Hari Sabtu yang lalu kami sekeluarga berkesempatan menziarahi Sofinee dan Jamalulail sekeluarga di Seaham. Kami bertolak dari rumah lebih kurang pukul 9.00 pagi dan perjalanan yang sepatutnya memakan masa 3 jam setengah menjadi 6 jam kerana berlaku kesesakan lalu lintas yang agak teruk di Derby. Kami sampai di Seaham pukul 3.00 petang dan berkesempatan menikmati keindahan pantai di sana. Bandar kecil ini terletak betul-betul di tepi laut.
Kami bermalam di rumah Sofinee dan keesokan harinya kami di bawa membeli belah di Doulton Park (factory outlet) yang tidak jauh dari rumahnya. Selepas itu kami juga berkesempatan ke 'carboot' yang terletak di tepi pantai tidak jauh dari situ. Bertuah Sofinee dapat rumah di tepi laut. Rumahnya yang besar juga sangat selesa untuk menerima kehadiran tetamu. Bukan saja kami sekeluarga yang datang, ada dua buah keluarga lagi yang hadir.


Kami semua pulang ke Coventry selepas solat magrib dan tiba di rumah lebih kurang pukul 9.00 malam. Anak-anak bergitu gembira dapat bertemu dengan kawan-kawannya di sana. Ini ada gambar-gambar yang sempat di ambil oleh anak-anak di sana.

Friday, October 24, 2008

"Eid Party" di Nursery





Semalam merupakan parti 'Eid' yang merupakan acara tahunan di Little Angle Day Nursery. Aku sempat juga masak nasi impit dengan kuah kacang dan sedikit rendang daging untuk kawan-kawan. Makanan masa jamuan itu sangat banyak. Macam-macam juadah yang di bawa oleh kawan-kawan dan ibu bapa. Hari itu aku lah yang paling sibuk sebab terpaksa masak pizza dan sebagainya di bantu oleh Faraheen dan Rita (boss aku). Ini ada gambar-gambar sekitar parti tersebut.

Sunday, October 19, 2008

Sekolah Hidayah dan Ebay


Seperti kebiasaan, setiap hari Sabtu, kami akan berkampung di MRC kerana menghantar anak ke Sekolah Hidayah. Sekolah ini semakin hari semakin meriah. Ramai warga Coventry yang baru tiba, menghantar anak-anak ke sekolah ini. Oleh itu setiap hari Sabtu, ramai lah warga Malaysia di sini.

Semalam aku sempat membantu Dr Marjan mengajar iqrak untuk anak-anak tahap satu. Membantu membangunkan sekolah ini, aku rasa perlu bagi semua warga Coventry. Kalau kita tidak bagi sokongan tentulah sekolah ini akan berkubur nanti. Allhamdulillah berkat usaha kami, di sini sekolah ini masih kekal beroperasi lebih-lebih lagi kami mendapat bantuan kewangan dari 'City Council', jadi anak-anak yang hadir tidak di kenakan yuran, seperti sebelumnya.

Pada sebelah petangnya aku ke Docester dengan suami. Apalagi, kalau tidak kerana 'ebay'... haha. Tapi seronok juga dapat ke sini yang perjalanannya mengambil masa hampir satu jam empatpuluh lima minit. Ada stadium bola sepak, rupanya di bandar ini. Jadi sewaktu hendak pulang kami terperangkap dengan kesesakkan jalan raya kerana ada perlawanan di stadium ini. Singgah solat di pusat 'Servis' (di parkir kereta sahaja), sebelum sampai ke rumah hampir waktu magrib. Hajat hati hendak ke rumah Redzuan untuk rumah terbuka terpaksa dibatalkan sebab suami keletihan. Mujur juga hari ini aku sempat masak nasi impit, rendang, kuah kacang dan lodeh. Jadi kami 'berumah terbuka' sendirilah dengan anak-anak ... hehe

Monday, October 13, 2008

Masih 'Mood' Raya


Walaupun sudah beberapa hari raya, warga Malaysia di Coventry ini masih dalam mood raya. Masih ada lagi rumah-rumah terbuka diadakan pada cuti hari minggu. Walaupun aku tidak membuat rumah terbuka secara rasmi, namun ramai juga tetamu yang hadir sepanjang hari raya yang lepas. Alhamdullilah, seronok sungguh dapat terima tetamu. Sempat juga menyediakan juadah-juadah yang serba ringkas untuk hidangan tetamu-tetamu yang datang. Antara mereka yang sudi menziarah kami sekeluarga di hari raya ini ialah, Fendi dan Ayu, Abang Fuad dan Kak Shidah sekeluarga, Kak Raja dan Salman sekeluarga, Rosman dan Ellyan sekeluarga, Kadijah dan anak-anak, Dr Wan dan Ustaz Hassan, Rashid dan Aida, Zikri dan Su bersama Balkish (orang baru), Fauzan dan Siti, Huda dan Hanif, Hanum dan Sazlinshah(dari Laborough), Khairy dan Mariana sekeluarga, Marjan dan Rosdi sekeluarga dan Dr. Fauziah dan Zainal sekeluarga.

Sunday, October 05, 2008

Rumah Terbuka Aidilfitri MCS




Semalam merupakan rumah terbuka Malaysian Coventry Society (MCS) yang di adakan di MRC. Majlis bermula jam 10.30 pagi. Kali ini ada persembahan dari anak-anak Sekolah Hidayah sebelum jamuan. Ramai warga MCS yang hadir dan kanak-kanak yang paling gembira pada hari itu. Ini juga merupakan peluang untuk kita beramah mesra antara satu sama lain. Alhamdulillah majlis berlangsung dalam suasana yang ceria dan tamat lebih kurang pukul 2.00 petang.

Thursday, October 02, 2008

Hari Raya di Coventry



Tahun ini genaplah tiga tahun kami sekeluarga beraya di Coventry. Sudah menjadi tradisi, juadah untuk pagi raya ialah rendang ayam, rendang daging, lodeh dan kuah kacang menjadi hidangan. Selain dari itu, aku juga ada menyediakan nasi baryani Bombay yang menjadi kegemaran suami. Biskut-biskut raya disediakan bersama anak-anak sejak dua hari yang lepas. Antara biskut yang sempat dibuat ialah tart nenas, biskut cornfleks, biskut badam dan biskut coklat. Setelah selesai solat aidilfitri, kami sekeluarga menerima tetamu yang datang dengan hati terbuka.

Pada sebelah petangnya, kami sekeluarga beraya ke rumah kawan-kawan di Coventry. Rumah Dee, rumah Faizam, rumah Kak Shidah dan Rumah Rosman. Kami pulang ke rumah hampir jam 6.00 petang. Selepas solat magrib, suami dan anak-anak lelaki ke Masjid Jalalabad kerana ada jemaah Malaysia yang datang. Doa kami, agar tahun depan dapatlah kami beraya di Malaysia pula...insyallah...Amin..

Wednesday, September 24, 2008

Salam Aidilfitri 2008

Kepada Pengunjung Blog ini, saya sekeluarga ingin mengucapkan Salam Aidilfitri kepada semua serta kami memohon ampun dan maaf zahir dan batin. Kehadiran Shawal yang tinggal beberapa hari lagi sungguh menginsafkan kerana Aidilfitri yang lalu Mak saya sempat berhari raya bersama kami sekeluarga di sini. Itu merupakan Hari Raya yang terakhir buat Mak sehinggalah beliau kembali kerahmatullah pada 18 Jun yang lepas. Kenangan bersamanya tetap abadi dalam ingatan dan sama-sama lah kita doakan Mak agar dalam Rahmah Allah hendaknya....Amin


Sunday, September 21, 2008

Iftar MCS 2008

Semalam merupakan majlis Berbuka Puasa anjuran Malaysian Coventry Society (MCS) yang di adakan di MRC. Program ini merupakan aktiviti tahunan MCS bagi mengeratkan hubungan silaturahim di antara warga MCS. Aku ditugaskan memasak Mee Hoon goreng dan untuk pencuci mulut aku sempat membuat bubur kacang. Program bermula dari pukul 2.00 petang lagi kerana warga MCS bergotong royong untuk menyediakan juadah untuk malam itu. Selepas berbuka puasa, solat Terawikh juga diadakan. Di sini ada beberapa gambar yang di ambil pada majlis itu oleh 'photographer' amatur bernama Rabiatul haha...

Menu Ramadhan

Bulan Ramadhan, kali ini agak sibuk kerana aku sudah mula bekerja semula. Walau bagaimanapun, menu untuk berbuka puasa dapat juga aku sediakan sebaik mungkin, atas banyak permintaan. Macam-macam menu yang dipinta oleh anak-anak dan suami dan aku cuba tunaikan sebaik mungkin. Ini juga peluang untuk aku mencuba pelbagai resepi baru. Antara Menu kegemaran suami ialah Nasi Baryani Bombay. Hasilnya seperti dalam gambar tu, rasanya... boleh lah...hehe

Antara menu-menu lain yang pernah dicuba ialah Popia Goreng, Mee Rebus Kedah, Mee Bandung Muar, Baryani Ayam Madu, Nasi Impit dan Rendang (macam raya lah pulak...hehe), Nasi Ayam, Nasi Hujan Panas, Nasi Minyak, Laksa Johor, Laksa Penang, Bubur Kacang, Bubur Durian dan Pulut ( durian beli di Wing Yip), Kuih Lapis dan macam-macam lagi. Allhamdulillah semuanya habis di makan...

Saturday, September 06, 2008

Ramadhan

Tahun ini merupakan tahun ketiga kami sekeluarga menyambut Ramadhan di sini, jauh dari kampung halaman. Pengalaman berpuasa di sini memang agak berbeza dari Malaysia. Tahun ini waktu berpuasa agak panjang berbanding dengan tahun-tahun yang lepas. Walaubagaimanapun Allhamdulillah, anak-anakku semua berpuasa. Kami sekeluarga bangun sahur lebih kurang pukul 3.30 pagi. Juadahnya mudah saja, ada yang hanya makan 'cornflake', roti dan nasi (ikut selera masing-masing). Selepas itu kami solat subuh berjemaah jam 4.50 pagi, sebelum menyambung tidur semula. Waktu berbuka puasa sekitar jam 7.45 petang. Tidak seperti di Malaysia, ada pasar Ramadhan yang boleh dikunjungi setiap hadir ramadhan. Di sini, semua juadah perlu di sediakan sendiri. Alhamdulillah anak-anak tidak cerewet, apa yang disaji, di makan penuh kusyuk... haha

Persekolahan penggal 2008/2009 bermula pada hari Rabu lepas. Aku juga mula bekerja pada hari tersebut setelah hampir enam minggu bercuti panjang. Imam sekarang sudah naik 'Year7' dan mula memasuki sekolah menengah. Atul pula sudah masuk 'Year 10' manakala Bariyah 'Year 9'. Kesemuanya di Sekolah President Kennedy School. Cuma Hambaly saja yang masih bersekolah rendah di Holbrook Primary School dalam 'Year 6'.

Insyallah, kalau umur panjang, tahun depan dapat kami menyambut Ramadhan di Malaysia pula....Amin

Tuesday, September 02, 2008

Hong Kong


Kami bukan ke Hong Kong, tetapi melalui "Chinatown" di Manchester. Kawasan ini memang banyak masyarakat cina. Jadi sempat bergambar sebagai kenangan.

Sunday, August 31, 2008

Manchester

Hari semalam kami sekeluarga ke Manchester buat kali ke dua. Kali ini kami sekeluarga melawat Manchester Art Gallery di tengah-tengah bandar Manchester. Sebenarnya tujuan asal ke Manchester ialah kerana mengambil barang di Barry Rood. Oleh kerana minggu hadapan sekolah akan bermula, kami ambil kesempatan ini membawa anak-anak jalan-jalan ke sana.

Manchester Art Gallery merupakan galeri yang mempamerkan pelbagai lukisan dan archa-archa lama. Oleh kerana ramai di kalangan anak-anakku yang minat lukisan, jadi mereka seronok dengan lawatan ini. Mereka boleh saksikan sendiri kesenian pelukis-pelukis terkenal sebelum zaman renaissance lagi. Aku kagum dengan lukisan lama yang di lukis sejak abad ke 18 lagi, yang berjodol "wreckship".

Sewaktu kami di gallery tersebut ada seorang wanita 'mat salleh' bertanyakan tentang kami. dia bertanya dari negara mana kami datang dan apa pendapat kami tentang orang-orang di Manchester ini. Banyak juga yang ingin dia ketahui dari kami, kerana katanya anak-anakku nampak ' well behave'..(alhamdulillah)

Selepas itu kami berjalan-jalan di sekitar bandar Manchester. Pusat bandarnya sungguh sibuk pada hari itu. Pelbagai jenis manusia yang kami jumpa, dari pemuzik jalanan, pelukis jalanan, penari jalanan, pelakon jalanan dan macam-macam lagi. Sebelum pulang, kami sempat membeli belah di situ. Mungkin ini merupakan penutup untuk sessi 'jalan-jalan' kami sebelum sekolah di buka minggu hadapan dan aku juga mula bekerja sepeti biasa.

Wednesday, August 27, 2008

Ibu Mertuaku

Macam tajuk filem P.Ramlee pulak. Alhamdulillah ibu mertuaku semakin sihat. Suamiku telah pulang ke Coventry, setelah ibunya semakin sihat. Masa suamiku sampai di Malaysia, keadaannya sungguh menyedihkan. Beliau tidak mampu untuk berjalan dan makan sendiri. Tapi setelah seminggu suami ku di sana, keadaannya semakin pulih. Alhamdulillh.

Tuesday, August 19, 2008

Anak-anak


Sepanjang ketiadaan suami, anak-anak lelakiku ambil peranan abahnya. Alhamdulillah Mizi, tolong jaga adik-adiknya. Ajak adik-adik solat jemaah di surau. Kalau pagi untuk solat subuh, dia akan kejutkan kami sekeluarga untuk bangun solat. Sebelum tidur dia akan periksa semua pintu dan tingkap agar semua berkunci, alhamdulillah. Nampak dia lebih bertanggungjawab sekarang.

Imam pula memang rajin ke dapur. Dia selalu membantu ku di dapur, sebab dia suka makan..haha.. Manakala Hambaly akan bantu apa yang perlu. Mana ada Imam di situ ada Hambaly, mereka berdua memang rapat, tak boleh berenggang.

Dua orang anak daraku ada tugas masing-masing. Atul tugasnya membasuh pinggan mangkuk, manakala Bariyah memasukkan baju kotor ke dalam mesin basuh. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar. Syukurlah mereka semua sudah besar..

Thursday, August 14, 2008

Balik Malaysia


Pulang ke Malaysia??.. Bukan aku yang balik Malaysia, tetapi suami. Kami dapat berita dua tiga hari yang lepas, ibu mertuaku Puan Azizah Abu Bakar, sakit. Aku menyuruh suami pulang untuk menziarahi ibunya itu. Tempat seorang anak lelaki tentulah di sisi ibu tersayang tatkala ibu memerlukan. Insyallah kami sekeluarga akan pulang ke tanahair pada akhir tahun ini. Doakan kesihatan yang baik untuk ibu mertuaku, mudah-mudahan dapat bertemu juga nanti insyallah... Amin.

Jadi semalam kami menghantar suami sekeluarga di stesyen bas Pool Medow. Dia menaiki pesawat MAS dari Heathrow, London jam 10.00 malam. Semasa aku menaip ini, dia mungkin masih berada di dalam kapal terbang. Tigabelas jam perjalanan untuk penerbangan terus... Aduh!! lama sungguh...Ku doakan agar perjalanannya ini lancar dan selamat... Amin

Tuesday, August 12, 2008

Black Country (The Living Museum)

Semalam, kami berjalan lagi. Kali ini ke Black Country yang terletak di Birmingham dan jaraknya tidak jauh juga hanya empat puluh minit memandu. Black Country ini merupakan sebuah pekan yang di jadikan Muzium Hidup, maksudnya seluruh pekan itu menceritakan sejarah England sejak zaman Victoria lagi. Seni bina bangunannya, kenderaannya dan aktiviti masyarakatnya, menggambarkan era zaman itu.

Kami sampai agak awal juga, terpaksa berbaris panjang kerana ramai betul pengunjung pada hari itu. Bayaran yang dikenakan untuk kami sekeluarga ialah sebanyak 47 pound. Kami memulakan lawatan dengan melihat sendiri bekas lombong arang batu di situ. Segala alat-alat yang digunakan untuk melombong masih kekal, begitu juga dengan rumah-rumah pekerjanya masih dipelihara perabut dan perhiasan dalamannya. Kemudian kami melawat rumah-rumah penduduk di sekitarnya yang mempunyai penghuni yang masih mengekalkan tradisi lama dari pakaian hingga ke peralatan rumahKami juga kemudiannya melawat sekolah pada zaman itu di mana guru yang ada di situ berlakon seolah-olah berada pada zaman tersebut. Beliau menggunakan rotan dan loceng untuk mendenda murid-murid yang nakal. Mungkin kalau di Malaysia, merotan pelajar masih diamalkan lagi di setengah-setengah sekolah, tetapi di England ini merotan tidak lagi di praktikkan untuk mendenda pelajar.

Kenderaan yang ada di Black Country ini masih menggunakan kenderaan lama termasuk tram, bas dan kereta. Selain dari itu pengangkutan penting bagi pekan ini ialah bot. Pengunjung boleh menaiki bot yang disediakan tetapi bayaran tambahan dikenakan.Oklah, cikgu sejarah sudah habis bercerita, marilah kita tengok gambar-gambar yang diambil sewaktu lawatan di Muzium hidup ini.

Friday, August 08, 2008

Gulliver's Kingdom

Semalam, bawa anak-anak ke Taman Tema 'Gulliver's Kingdom' yang terletak di Matlock Bath. Rancangan untuk bawa anak-anak kemari sebenarnya tidak di rancang awal. Kami sebenarnya bercadang hendak ke Selatan England (Isle Of Wight) pada cuti musim panas ini. Tetapi banyak pula halangan terutamanya kos dan jaraknya yang agak jauh. Oleh itu kami ambil keputusan untuk membawa mereka berjalan di sekitar West Midland sahaja.

Perjalanan ke Taman Tema ini agak menarik juga, kerana kawasannya agak berbukit. Suasana perkampungannya juga sungguh mendamaikan. Kami sampai di sana lebih kurang pukul 11.00 tengahari, setelah sejam perjalanan. Keadaan taman ini tidaklah sesesak taman-taman yang pernah kami pergi sebelum ini. Ianya sungguh selesa untuk anak-anak bermain. Mereka dapat bermain hampir kesemua permainan yang ada di situ, kerana masa menunggu untuk satu-satu permainan yang tidak terlalu lama dan jarak antara satu permainan ke satu permainan juga tidak jauh. Kesimpulannya, kami semua rasa seronok dan berpuashati dengan perjalanan hari ini.

Wednesday, August 06, 2008

Transport Museum

'Transport Museum' terletak tidak jauh dari rumah. Lebih kurang sepuluh minit memandu. Masuk adalah percuma dan ianya terletak betul-betul di tengah bandar Coventry. Banyak juga pengetahuan yang kami dapat dengan melawat Muzium ini, terutamanya tentang sejarah kenderaan dari kereta, basikal dan motosikal.

Sejarahnya bermula dari tahun 1800an, di mana manusia berfikir bagaimana untuk mencipta kenderaan yang boleh memudahkan pergerakkan. Nama-nama seperti Carl Benz, Gottleib Daimler, J.K Starley, Rover adalah antara nama-nama pelopor dalam penciptaan enjin kereta . Bandar Coventry merupakan bandar motor apabila 'Daimler Motor Company' dibuka di sini pada tahun 1896.

Pelbagai jenis kenderaan dipamerkan di sini, termasuklah basikal dan motosikal yang pertama di cipta. Apa yang menarik ialah kereta-kereta yang di pamerkan terdiri dari pelbagai jenama seperti Daimler, Triumph, Jaguar, Rover, Alvis, Swift dan Calcott. Haha...nampaknya cikgu sejarah dah mulakan kelasnya pada hari ini.. hehe (dah gian nak mengajar Sejarah nampaknya..)

Oklah.. di pendekkan cerita, ini lah antara gambar-gambar yang dapat diambil di 'Transport Museum' hari ini..

Tuesday, August 05, 2008

Permata Hati

Sejak dua tiga hari ini, hujan asyik turun. Tiada yang menarik dapat di lakukan. Masing-masing sibuk dengan computer masing-masing. Cadangan hendak bercuti, terpaksa di tangguh, memandangkan cuaca yang tidak menentu. Esok kami bercadang ke 'Transport Museum' saja, yang terletak berhampiran. Mungkin dapat juga menghilangkan kebosanan anak-anak. Tunggu esok untuk cerita selanjutnya.

Hari ini merupakan Ulangtahun Perkahwinanku yang ke 18 tahun. Tiada apa yang perlu di sambut, cuma mensyukuri apa yang Allah beri, terutamanya lima orang permata hati yang tidak terhingga nilainya. Doa kami agar kebahagian berkekalan sehingga keakhir hayat...Amin

Friday, August 01, 2008

Malam Markaz di Leicester

Malam tadi merupakan malam markaz tabligh di Leicester. Selalunya suami dan anak-anak lelaki saja yang pergi. Tapi malam tadi kami sekeluarga pergi kerana jemaah masturat dari Malaysia berada di salah sebuah rumah yang terletak berhampiran dengan Masjid Umar di sana. Oleh itu aku dan anak perempuan bolehlah nusrah untuk jemaah ini. Kami sampai lebih kurang pukul 6.00 petang dan ketika itu bayan baru saja bermula. Alhamdulillah, ramai betul hadirin yang datang mendengar bayan ketika itu. Aku tashykil (berazam) untuk suami dan anak lelaki untuk keluar 4 bulan, Insyallah.

Anak-anak sempat mengambil gambar Masjid Umar yang tersergam di bandar Lecister ini. Masjid ini merupakan salah satu masjid yang ada di bandar ini. Kalau sesiapa ke mari terasa macam berada di Madinah ... alhamdulillah jumlah umat Islam di sini juga ramai dan kerja-kerja Jemaah memang perkara biasa. Kami bertolak dari Leicester pukul 11.15 malam kerana terpaksa menunggu jemaah yang menghalang kereta kami mengalih keretanya. Sampai di rumah lebih kurang pukul 12.00 malam.