Sunday, April 26, 2009

Cili

Masa di UK dulu, suka memetik stawberry bila tiba musim panas, tapi di sini kami berkesempatan memetik cili pula. Petang tadi kami ke ladang cili abang iparku yang terletak di Segamat untuk memetik cili padi yang ditanam secara komersial. Sayangnya masa memetik tidak boleh dimakan terus, macam memetik strawberry dulu. Tapi memang seronok apabila berjaya memetik hampir sebaldi kecil cili-cili tersebut. Ini ada gambar yang sempat di rakam masa memetik tadi..

Saturday, April 25, 2009

Ronda

Aktiviti petang yang selalu di lakukan aku dengan anak-anak ialah bermain bola keranjang atau ronda-ronda sekitar taman dengan berbasikal. Oleh kerana badan semakin tembam sejak balik UK ni, aku memaksa diri ini untuk bersenam. (Tak boleh jadi ni, banyak baju yang dah sempit.?.mmm baju ke yg sempit atau orangnya kah yang mengembang??....huhu)

Friday, April 24, 2009

Raihan

Kami sekeluarga memang suka dengan nasyid-nasyid yang di dendangkan oleh kumpulan Raihan, sejak dulu-dulu lagi. Masa anak-anak masih kecil, memang lagu-lagu nasyid inilah yang menjadi halwa telinga mereka sama ada di dalam kereta mahupun di rumah. Beberapa minggu yang lepas kami berkesempatan menyaksikan persembahan kumpulan kegemaran ini secara langsung di MITC, Ayer Keroh, Melaka, sempena Karnival Halal yang di adakan di situ. Kebetulan masa kami di sana kumpulan itu ada mengadakan persembahannya. Jadi, sempatlah anak-anak mengambil gambar bersama kumpulan ini sambil membeli kaset zikirnya yang baru dengan harga promosi!!

Wednesday, April 22, 2009

Gelap!

Anak-anakku semakin 'gelap', kerana cuaca kebelakangan ini sangat panas. Yang paling ketara ke'gelapan'nya ialah anak dara ku Atul. Ini bukan kerana apa, kerana dia terlibat dengan latihan kawad kaki Puteri Islam setiap hari di sekolah. Oleh kerana kerajinannya berkawad menjadikan mukanya nampak berbelang.. (Ish, kalau dia tau mak dia kata dia gelap dan berbelang tentu naik angin dia...hehe), Walaubagaimanapun hasil dari ketekunan dia berkawad hari-hari, akhirnya dia mendapat tempat kedua untuk pertandingan kawad peringkat sekolah baru-baru ini. Tahniahlah buat dia, bukan dia saja yang 'gelap', kawan-kawan diapun 'gelap-gelap' belaka...haha

Saturday, April 18, 2009

Bergelap!!

Malam tadi kami sekeluarga bergelap lagi untuk kali yang ke empat sejak balik dari UK. Bekalan elektrik mula terputus pada pukul 10.15 malam sewaktu aku menjemput Bariyah tusyen di sekolah. "Hai...orang TNB ni buat kerja ke tidak ni??" itulah runggutan yang keluar dari mulut-mulut 'comel' anak-anakku...hehe. Oleh kerana masing-masing macam cacing kepanasan duduk di rumah, aku dan suami mengambil keputusan untuk ronda-ronda di sekitar bandar Tangkak sambil mencari bekalan lilin dan ubat nyamuk. Tidak semua kawasan yang bergelap rupanya, cuma separuh-separuh sahaja. Jadi kami mengambil kesempatan untuk lepak-lepak di warung satay di hadapan Pejabat Pos Tangkak, dengan harapan, apabila balik nanti bekalan elektrik kembali pulih. Namun setelah selesai makan dan kembali semula ke rumah, keadaan masih sama. Malam itu kami banyak menghabiskan masa duduk-duduk di taman sampai mata mengantuk, barulah masuk ke dalam rumah. Anak-anak bertandang di bilik ku sampai bekalan elektrik kembali pulih jam 3.00 pagi. Selepas itulah baru kami dapat tidur dengan selesa. Harap-harap selepas ini tiada lagi 'black out' buat kali yang ke lima pula ...huhu

Saturday, April 11, 2009

Ujian lagi

Minggu ini agak sibuk. Ujian penilaian ke 2 di sekolah bermula untuk bulan April pula. Rasanya baru habis ujian, bulan lepas sudah ada ujian lagi untuk bulan ini. Bukan saja pelajar-pelajar yang 'stress', guru-guru juga sama. Ini bermakna soalan perlu disediakan dengan skema jawapan sekali dan yang paling sibuk ialah terpaksa menanda kertas jawapan pula. Bayang kan aku terpaksa menanda kertas jawapan untuk 6 kelas menengah atas yang tidak banyak soalan objektif. Oleh kerana sudah tiga tahun tidak menanda kertas, 'skill' menanda kertas agak 'slow' sedikit. Masa-masa beginilah aku teringat kerja di Coventry dulu, walaupun menggunakan tulang empat kerat, tetapi tidak 'stress' langsung..... huhu, Kalaulah ada kerja yang macamtu di sini kan 'best' hehe

Friday, April 03, 2009

Taman



Hari ini, berkesempatan untuk menghias taman. Kerja-kerja menanam dan mengecat bangku taman dilakukan bersama-sama. Pokok-pokok bunga diambil dari rumah arwah ibu, yang banyak terbiar sejak ibu tiada. Pokok-pokok itu perlukan perhatian untuk berbunga. Alhamdulillah sejak dibawa ke rumah ini, banyak juga pokok-pokok yang telah mengeluarkan bunganya, walaupun tidak berbau. Di Malaysia ni, pokok bunga tidak mengira musim, ia akan berbunga sepanjang tahun, bersyukurlah....alhamdulillah..

Monday, March 30, 2009

Tahniah!!

Tahniah!! buat suami, kerana berjaya membawa pingat emas dan pingat perak untuk acara merejam lembing dan melontar peluru di acara sukan Universitinya yang di adakan pada hari Sabtu lepas. Nampaknya bakat masa di sekolah dahulu masih berterusan walaupun sudah veteran..hehe... Tahniah sekali lagi...

Friday, March 27, 2009

Capati

Semalam teringin untuk makan capati. Oleh itu akupun menyingsing lengan, mencuba buat capati kegemaran suami. Dulu aku pernah membuatnya beberapa kali ketika di UK, tetapi ia agak liat dan tidak seperti capati 'mamak'. Kali ini aku mencari resepi yang agak mudah di http://resepi.mesra.net/Detailed/2253.shtml dan akhirnya capati kali ini agak menjadi. Rasanya lembut dan sedap (cewah....hehe). Bila ditanya pada juri-juri 'profesional' (anak-anak dan suami lah tu..) katanya OK!!

Monday, March 23, 2009

"Family Gathering 2"



Allhamdulillah, pada hari Sabtu yang lepas siri "Family Gathering" sebelah suami berjaya dijalankan dan kesemua adik beradik suami hadir ke majlis itu. Majlis diadakan sebelah malam kerana kesemua adik beradiknya tinggal tidak jauh dari kawasan Tangkak. Menunya masih sama dengan minggu lepas dan yang paling istimewa ialah kambing panggang yang di bawa khas dari Sungai Buluh (Fadilla Catering). Nasib baik gambar-gambarnya tidak hilang macam hari tu...hehe

Thursday, March 19, 2009

Gunung Ledang


Untuk ke Gunung Ledang dari Tangkak, memang tidak jauh. Ia hanya terletak lebih kurang 2km sahaja dari bandar ini. Jadi untuk ke sana waktu petang-petang memang sesuai, terutamanya untuk menikmati kesejukkan dan kejernihan air terjunnya. Jadi semalam kami sekeluarga berkesempatan lagi ke sana untuk bermain-main air. Seronok tengok anak-anak berendam di air terjun di kaki gunung lagenda ini. Sesiapa yang ke Tangkak jangan lupa singgah di air terjun Gunung Ledang ini ya.... (promosi lah pulak...hehe)

Wednesday, March 18, 2009

Kuih Bakar

Ini merupakan cubaan kali kedua membuat kuih bakar. Tetapi kali ini aku cuba masukkan adunan ini ke dalam bekas yang kecil-kecil, supaya senang dimakan dan tidak perlu dipotong-potong. Nampaknya cubaan kali kedua ini, menjadi. Ha... inilah hasilnya.

P/s Petang ini, suami bercadang hendak ke Gunung Ledang pula.. apakah bekal yang hendak di bawa ye??

Tuesday, March 17, 2009

Beca

Pernahkah anda semua menaiki beca??... Hari ini merupakan hari yang bersejarah dalam hidup kerana aku merasa naik beca roda tiga, sambil ronda-ronda dengan keluarga di Kota Melaka. Mesti orang Melaka gelakkan aje kami ye... haa orang yang duduk Melakapun belum tentu pernah naik beca, kan?... Inilah kerja kami di cuti sekolah ini, melayan kerenah anak-anak remaja yang hendak melancong di Kota Bersejarah ini. Aku rasa macam bawa rombongan murid-murid sekolah lah pulak...hehe. Tapi kami betul-betul 'enjoy' hari ini. Anak-anakpun seronok dapat melancong sambil belajar sejarah Melaka. Inilah gambar 'cikgu' dan 'anak-anak muridnya'...hehe

Monday, March 16, 2009

"Family Gathering 1"

Hari minggu yang lepas kami sekeluarga mengadakan "Family Gathering" untuk sebelah keluargaku di rumah ini. Urusan masak memasak di serahkan pada adikku Ela (Norlaila Abd Manan) sebab dia ada "Fadilla Catering"nya. Menu hari itu ialah satay, mee-mee, dan nasi goreng hailam serta paling istimewa kambing panggangnya. Semua adik beradik hadir kecuali adik bongsu ku yang bertuah itu (Rosdan Abd Manan) tidak hadir kerana ada urusan di Terengganu. Gambar-gambar tidak dapat disiarkan kerana gambar di kameraku, hilang tanpa dapat dikesan...eeee gerrrammm. Insyallah pada hari Sabtu depan ada "Family Gathering" lagi untuk sebelah suami pula, harap-harap gambar-gambar tidak hilang seperti hari tu. Tunggu ya..

p/s harap-harap gambar dari kamera adikku Abd Muluk ada lah hendaknya...

Saturday, March 14, 2009

'Smart' yang 'Tak Smart'





Semalam selepas ambil Mizi di PD, kami sekeluarga bercadang untuk 'shopping' di KLCC Suria. Apa yang hendak diceritakan di sini, ialah perjalanan yang sepatut nya tidak sampai setengah jam menjadi hampir dua jam kerana kami terperangkap dalam lorong 'smart' yang tak 'smart' itu...huhu. Kami ingatkan dengan membayar 2 ringgit tol, boleh mengelakkan kesesakan, tapi malangnya di hujung terowong itu kami tersangkut lah pulak... Ini lah gambar-gambar yang sempat dirakam...

Thursday, March 12, 2009

Tag

Dapat TAG dari Izuan. Cuba menjawab sekadar suka-suka. Inilah soalan-soalannya..:

What were you doing 5 years ago?
2004 mengajar di SMK Ledang sambil-sambil tu belajar buat 'direct selling' ha..ha.

What were the 5 things on your to do list today?
1. Mengajar di sekolah seperti biasa
2. Siapkan rancangan mengajar
3. Siapkan kad ujian pelajar
4. Siapkan graf pencapaian TOV dan ETR pelajar
5. Nak siapkan projek menjahit..hehe

What are the snacks that you enjoy?
Biskut creamcreaker cicah air kopi O
Fruit Cocktil
Pineapple jam tart
Mini Pizza, home made
Cheese Cake
Dan lain-lain (banyak lagi lah...)

What are 5 things that you do if you were bilionaire?
1. Banyakkan sedekah ke jalan Allah
2. Hajji dan Umrah banyak-banyak kali
3. Melancong ke seluruh dunia
4. Bina sekolah tahfiz banyak-banyak
5. Bina perniagaan yang bermanfaat (mmm... kilang apa ek??)

What 5 jobs you’ve had
1. Cikgu
2. Domestic Nursery Nurse di Coventry
3. Part time Cleaner di Nursery di Coventry (ganti ct dulu tu... hehe)
Ada tiga aje lah... tak pernah kerja lain sebelum jadi cikgu, lepas habis belajar terus dapat jadi cikgu.

Who are 5 person you want to tag?
Dee
Sofinee
Rajihah
Mazni
Hudahanif

Seperti biasa, kalau ada masa jawab kalau tidak, abaikan saja. Ini hanya sekadar suka-suka sahaja. Walaubagaimanapun terima kasih pada Izu kerana bagi Tag ini, adalah modal untuk post kali ini...hehe

Tuesday, March 10, 2009

Jemputan Kahwin


Ini merupakan jemputan kahwin yang pertama sejak balik dari UK. Sudah lebih tiga tahun tidak berpeluang menghadiri majlis perkahwinan di Malaysia ini. Kebetulan jemputan hari minggu yang lepas adalah dari bekas kakitangan sekolah tempat ku mengajar dan hubungan kami agak rapat juga. Jadi sebelum pulang dapatlah cenderahati dari tuan rumah. Cantik bekas kek dan telur rebus ini untuk di muatkan diblog ini.

Sunday, March 08, 2009

Hobi

Sudah lama aku meninggalkan hobi ini. Oleh kerana hujung minggu ini, cuti agak panjang, aku sempatkan diri mengeluarkan mesin jahit kesayangan yang disimpan dengan baik oleh arwah ibuku dulu. Projek pertama ku ialah menjahit langsir rumah. Rumah ini bukannya tidak ada langsir, tapi masa aku pindah dulu, suami suruh beli yang 'ready made' saja. Tapi aku tidak berapa puas hati, dengan langsir tersebut jadi, oleh kerana tinggal di Tangkak... hari-hari lalu depan kedai kain, teruja lah juga untuk menyinggah dan membeli kain yang "murah-murah" itu...hehe..(iklan lah pulak). Maka inilah hasilnya...

Friday, March 06, 2009

Sama Tapi Tak Serupa

Kedua-duanya nampak macam sama... tapi tak serupa. Yang satu untukku dan satu lagi untuk 'dia'. Nombor itu adalah tarikh 'keramat' untuk kami berdua.. hehe

Ini gambarnya...atas permintaan Izu.. sorry lah gambar diambil waktu malam, tak berapa terang.

Tuesday, March 03, 2009

Rutin

Hari ini dah mula bersekolah semula. Bermakna rutin harian kembali sibuk. Kami bangun seawal 6 pagi untuk bersiap-siap ke sekolah. Mujur juga sekolah tidak jauh dari rumah, walau sedekat mana pun sekolah, kami tetap berkereta juga, tidak macam di UK boleh jalan-jalan kaki sahaja. Kalau di sini untuk berjalan kaki, TIDAK sekali-kali...hehe (takut rentung lah pulak). Balik sekolah lebih kurang pukul 1.00 dan kadang-kadang pukul 2.00 bergantung pada jadual anak-anak.

Sebelah petang, ada yang mempunyai aktiviti ko-ko, mereka hanya berbasikal saja. Manakala pukul 4.30 aku ada tuisyen dengan mereka. Terpaksa bagi tuisyen sendiri, kerana lebih mudah dan lebih berkesan. Sebelah malam, ajar mereka mengaji Quran dan sessi taklim sebelum duduk bersama untuk kerja-kerja rumah yang "bertimbun". Rutin sekolah di Malaysia agak 'stress' berbanding di UK... .

Friday, February 27, 2009

Santai


Minggu ini agak rehat sikit walau ligat di dapur. Maklumlah minggu ini anak bujang kesayangan balik cuti. Jadi ibunya ni, sibuk lah nak masak makanan kegemaran si anak. Macam tulah ibu kita dulu kan.. so sekarang giliran kita pulak bila anak-anak dah besar-besar ni. So...menu hari ini ialah Nasi Baryani Ayam Madu Suzana, bubur pulut hitam dan Kek Biskut Merrie. Itu semua kegemaran Mizi. Mesti yang lain jelous ni... hehe.. Kegemaran anak-anak yang lain pun akan menyusul kemudian ye...

Manakala minggu lepas aku sempat membuat 'Choc Cips Cupcake' untuk di jamu kepada ibu mertua dan ipar duai yang datang untuk minum petang. Ini lah gambar cup cakenya. Kalau nak resepinya, akan di postkan kemudian...

Thursday, February 26, 2009

'Fish Spa'

Hari ini nak cerita sikit pasal "Fish Spa" yang ada di Muar, tidak jauh dari Tangkak. Kebetulan kami sekeluarga ke pasaraya Giant yang terletak di Tanjung Agas, Muar, untuk membeli keperluan dapur. Suami yang dua tiga hari ini tidak sihat kaki nya, berkesempatan merasa rawatan di 'Fish Spa' ini dengan bayaran RM10 untuk 20 minit. Pada mulanya suami kegelian, kerana ikan-ikan yang berasal dari Turki itu mengigit-gigit kakinya. Tapi lama kelamaan ia menjadi seronok pula. Ikan-ikan itu banyak berkumpul di tempat kaki yang sakit .. pelik juga kan...Subhanallah itulah kebesaran Allah..

Saturday, February 21, 2009

Tempe


Hari ini nak kongsi sikit tentang lauk kegemaran suami ku iaitu 'Tempe Masam Manis'. Masa baru-baru kawin dulu, aku cuba juga masak tempe ni, tapi dia kata masih tak sama macam mak dia masak. Dia nak aku masak tempe ni macam mak dia masak juga... Jadi nak mendapatkan hasil yang memuaskan, kena lah kursus dengan 'ibu mertuaku'...hehe. Tapi, lama kelamaan akupun dah boleh lah masak masakan kegemarannya ini walaupun tak 100% sesedap ibu mertuaku. tak apalah, asalkan dia makan sampai licin, pun dah kira bagus...alhamdulillah.

Wednesday, February 18, 2009

PD

Dalam kesibukkan bersekolah sempat juga nak meng'update' blog kali ini. Kali ni nak cerita sedikit aktiviti hari minggu yang lepas. Kami sekeluarga berkesempatan menziarahi anak bujang kami di PD. Oleh kerana kereta yang 'seven seater' tu dah sampai, dapatlah kami sekeluarga ke pantai PD yang tidak jauh dari Politeknik Mizi. Oleh kerana sudah lama, masing-masing tidak mandi laut, apa lagi, ini lah masanya... Ini ada beberapa keping gambar yang sempat di rakam..

Monday, February 16, 2009

Sukan


Minggu lepas merupakan minggu sukan di sekolah. Banyak masa aku dan anak-anak habis di padang sekolah. Kemuncaknya adalah pada hari Khamis yang lepas dimana acara Sukan Tahunan diadakan. Aku seperti biasa bertugas di garisan penamat sebagai penjaga masa. Atul masuk perbarisan Puteri Islam dan untuk acara guru aku masuk lari berganti-ganti dan mendapat tempat ke tiga...hehe. Di sini ada beberapa gambar pada hari tersebut....

dan yang lucu ialah gambar ini...ha...ha

Sunday, February 08, 2009

Sibuk


Minggu ini aku memang sibuk. Pagi bersekolah seperti biasa dan petangnya menjadi hakim untuk sukan acara terdahulu di padang. Kulit pun bertambah gelap nampaknya...hehe. Sudah lama tidak berjemur di tengah padang dengan matahari yang terik menyebabkan kulit cepat gelap.

Manakala pada hari Jumaat, setelah tamat persekolahan, bergegas ke Port Dickson untuk menjemput Mizi dari Politeknik. Minggu ini merupakan cuti yang agak panjang sempena Thaipusam. Dari PD terus pula ke Shah Alam, untuk mengambil barang yang dikirim dengan kawan yang pulang untuk "Data Collection". Bertemu pula dengan sahabat lama yang pulang dua tahun lepas dari Coventry.

Semalam juga sibuk kerana melayan tetamu yang datang. Kehadiran mereka memang menyeronokkan. Aku sempat menjamu mereka dengan 'Pulut Durian' dan 'Mini Chicken Pie' Walau sibuk macamanapun, aku tetap gembira menyambut kehadiran mereka..sudi-sudikan datang lagi ye...